suria

Bidang tugas SPR untuk isytihar kekosongan kerusi, bukan Speaker

PUTRAJAYA: Ia merupakan bidang tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukannya speaker Dewan Undangan Negeri Perak, untuk mengisytiharkan sama ada berlaku kekosongan kerusi atau pun tidak, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nik Hashim Nik Ab Rahman, dalam penghakiman setebal 20 muka surat, berkata mengikut Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958, SPR akan memastikan wujud kekosongan kerusi sebelum mengeluarkan writ pilihan raya kecil.

Oleh itu, speaker tidak boleh campur tangan dengan tugas perlembagaan SPR untuk memastikan sama ada berlaku kekosongan biasa.

"Mengikut Perkara 36(5) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, dibaca bersama dengan Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya, SPR yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan berlaku kekosongan biasa, kata Hakim Nik Hashim dalam penghakiman bertarikh 8 Jun, penghakiman terakhirnya sebelum beliau bersara pada 1 Julai.

"Oleh yang demikian, kami sebulat suara memutuskan bahawa keputusan speaker yang mengisytiharkan kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak mengikut undang-undang dan dengan itu tidak sah dan batal kerana keputusan itu bercanggah dengan Perkara 36(5) Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Salinan penghakiman itu diedarkan kepada media pada Isnin.

Hakim Nik Hashim berkata penerimaan oleh speaker akan surat peletakan jawatan kononnya adalah daripada wakil rakyat berkenaan tidak menyebabkan kekosongan kerusi sepertimana mengikut Perkara 35 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, peranan speaker hanya terhad kepada menerima surat peletakan jawatan secara bertulis itu dan menyerahkan surat itu kepada SPR.

Beliau berkata kemudian SPR, mengikut prosedurnya sendiri, akan menentukan sama ada atau tidak wujud kekosongan biasa.

"Sebaik sahaja kekosongan biasa ditentukan, kemudian adalah menjadi tugas SPR untuk mengisi kekosongan itu dengan mengadakan pilihan raya kecil. Dengan adanya ketetapan yang jelas antara bidang kuasa SPR dan speaker, kebimbangan berlakunya pencerobohan terhadap doktrin bidang kuasa yang berbeza antara satu badan dengan badan lain tidak timbul," katanya.

Pada 9 April, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff memutuskan tiga wakil rakyat Perak yang keluar dari parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas boleh mengekalkan kerusi mereka selepas memutuskan SPR mempunyai hak untuk mengisytiharkan sama ada berlaku kekosongan kerusi DUN ataupun tidak.

Dalam keputusan penting itu, Hakim Alauddin membenarkan permohonan tiga wakil rakyat itu -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Capt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) -- untuk mengisytiharkan yang mereka adalah wakil rakyat bagi ketiga-tiga kawasan itu.

Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Nik Hashim dan Datuk Seri S. Augustine Paul dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk James Foong (kini hakim Mahkamah Persekutuan).

Ketiga-tiga wakil rakyat itu telah memohon supaya saman mereka terhadap Sivakumar dirujuk ke mahkamah tertinggi atas alasan ia melibatkan isu perlembagaan.

Mereka pada asalnya memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi memohon diisytiharkan mereka adalah wakil rakyat yang sah bagi ketiga-tiga kawasan walaupun Sivakumar telah mengumumkan yang kerusi berkenaan kosong.

Hakim Nik Hashim berkata mahkamah bersetuju bahawa speaker berhak untuk menerima surat peletakan jawatan itu tetapi tidak bersetuju dengan tindakan speaker mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu kerana perkara itu tidak termasuk dalam bidang kuasa beliau untuk berbuat demikian.

Katanya pengisytiharan kekosongan kerusi berkenaan oleh speaker tidak boleh dikatakan turut termasuk dalam prosiding Persidangan Dewan Undangan Negeri (SLA) kerana ia tidak melibatkan dan merupakan sebahagian daripada prosiding SLA.

Oleh yang demikian, imuniti daripada proses sebenar mengikut undang-undang dengan kesahihan bagi mana-mana prosiding dalam sidang DUN yang dijamin mengikut Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai dalam kes ini, katanya. BERNAMA

Artikel Lain