suria

Reman majikan didakwa dera amah disambung 6 hari lagi

KUALA LUMPUR: Reman terhadap seorang majikan yang mendera amahnya di Lanai Kiara Kondominium, Mount Kiara 8 Jun lepas disambung enam hari lagi bermula semalam. Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata reman itu disambung kerana polis perlu mengambil beberapa keterangan daripada majikan itu bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini Mahkamah Majistret di sini pada 9 Jun lepas membenarkan reman selama lima hari yang berakhir semalam terhadap ibu tunggal kepada dua anak itu untuk membantu siasatan polis.

Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda dan sebatan jika sabit kesalahan. Mangsa yang dikenali sebagai Siti Hajar, 33, berasal dari Jawa Barat didera oleh majikan dengan memukulnya menggunakan objek keras, disiram dengan air panas serta diberi makan nasi tanpa lauk atau kadangkala berlaukkan daging babi.

Mangsa bekerja dengan majikannya itu sejak 2 Julai 2006. BERNAMA

Artikel Lain