suria

Pembangunan tanah di Perak bukan bawah portfolio dua bekas Exco

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu pembangunan tanah di Perak adalah di bawah portfolio Menteri Besar dan bukan portfolio dua bekas Exco Perak iaitu Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang).

Saksi pertama pendakwa, Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perak, Abdulah Antong Sabri berkata Mohd Osman sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan Bukan Kerajaan manakala Jamaluddin Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.

Katanya oleh itu semua fail pembangunan tanah mesti dilihat oleh Menteri Besar terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesyuarat mingguan Exco untuk keputusan dan semua Exco terlibat untuk membuat keputusan bersama.

"Kertas MMK pembangunan tanah seperti perumahan, industri dan projek berbentuk pembangunan tanah mesti dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat itu oleh semua ahli Exco yang diwajibkan hadir dan terlibat secara bersama untuk membuat keputusan di dalam mesyuarat," katanya dalam perbicaraan hari pertama kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar membabitkan dua bekas ahli Exco berkenaan dan empat yang lain.

Abdullah yang juga Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata semakan beliau menunjukkan tidak ada kertas kerja pembangunan tanah di Seri Iskandar telah dibawa ke mesyuarat Exco untuk keputusan pada tahun lepas.

Beliau bersetuju dengan saranan peguam Abdul Roni Rahman yang mewakili Mohd Osman dan Jamaluddin bahawa oleh kerana tidak ada kertas cadangan bagi pembangunan di kawasan tersebut maka perkara itu tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat mingguan Exco mahupun di peringkat pentadbir tanah dan pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak.

Katanya semua kertas kerja pembangunan tanah disediakan oleh pentadbir tanah di mana tanah tersebut berada dan disemak serta dikemaskan oleh PTG Perak untuk perhatian Menteri Besar sebelum dibawa ke mesyuarat mingguan Exco.

Menjawab soalan balas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi mengenai apakah kertas kerja yang dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Exco, Abdullah berkata mesyuarat mingguan Exco kebiasaannya akan membincangkan tiga komponen kertas kerja iaitu pembangunan tanah, kewangan dan urusan pentadbiran dengan 95 peratus daripada kerta kerja yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan melibatkan pembangunan tanah.

Sementara itu, saksi kedua pendakwa, Pengurus Sumber Manusia Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Sabariah Abdul Manan ketika disoal Mohammad Jazamuddin berkata tugas Juruteknik PKNP, Ruslan Sahat adalah memantau kerja-kerja di tapak pembinaan termasuk kerja-kerja infrastruktur, sistem pembetungan, kerja cerucuk dan konkrit, pemeriksaan bahan binaan dan mendokumentasi dokumen kontrak.

Sabariah yang disoal balas oleh Abdul Roni bersetuju bahawa sebagai Juruteknik PKNP, Ruslan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung pembangunan tanah di Perak.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menangguhkan perbicaraan ke pagi esok selepas Sabariah selesai memberikan keterangannya.

Mohd Osman, 58; Jamaluddin, 53; Ruslan, 47; dan dua orang lagi iaitu bekas ADUN Bota daripada PKR Usaili Alias, 57; dan bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, 46; didakwa melakukan kesalahan rasuah itu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya di sini, dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos tahun lepas.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada 8.10 malam 14 Ogos lepas di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.

Tertuduh keenam, ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 30, yang dituduh menerima habuan rasuah seks di Sri Sayang Apartment pada 14 Ogos lepas untuk membantu seorang bernama Mohamad Imran Abdullah memperoleh projek pembangunan bersama di Bandar Baru Seri Iskandar melibatkan Majlis Daerah Perak Tengah dibicarakan secara bersama dengan lima tertuduh berkenaan.

Ruslan diwakili peguam Surjan Singh dan Yunos Ali; Usaili diwakili Ting Chek Meng dan Ranjit Singh; peguam S. Muthu dan Mohd Asri Othman masing-masing mewakili Zul dan Fairul Azrim manakala Mohammad Jazamuddin dibantu oleh Nafhatun Mohd Pozi. BERNAMA

Artikel Lain