suria

Najib jamin gagasan Satu Malaysia tidak lenyap identiti mana-mana kaum

KUALA LUMPUR: Gagasan Satu Malaysia tidak akan melenyapkan identiti mana-mana kaum di negara ini, jamin Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak hari ini.

Dalam penjelasan pertama di Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata, "janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika lalu."

"Sebaliknya Satu Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

"Satu Malaysia menekankan sikap 'penerimaan' di kalangan rakyat berbilang kaum di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

"Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata," kata beliau menjawab soalan lisan seramai 15 Ahli Parlimen secara sekali gus hari ini.

Sidang Dewan Rakyat hari ini merupakan yang pertama sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri awal April lalu dan memperkenalkan gagasan Satu Malaysia.

Artikel Lain