suria

Kematian Gnanapragasam dipercayai berkaitan dadah

KUALA LUMPUR: Polis percaya kematian A.Gnanapragasam, seorang suspek kes pecah rumah, di sel lokap Balai Polis Damansara Damai semalam, mempunyai hubungkait dengan dadah memandangkan suspek merupakan seorang penagih dadah tegar, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan akan menyiasat kes ini secara menyeluruh," katanya.

Mayat Gnanapragasam kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya polis tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat dari pengetahuan masyarakat umum berhubung punca kematian mengejut Gnanapragasam, 52.

"Sebelum ini pun apabila ada kematian berlaku dalam lokap, kita akan menjemput doktor dan majistret untuk melihat dan memeriksa keadaan mayat di lokap sebelum mayat dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Hak Asasi Untuk Pelatih Polis Asean di sini hari ini.

Gnanapragasam yang ditahan Rabu lepas ditemui mati pagi semalam dalam keadaan terbaring di tandas sel oleh seorang pengawal lokap yang sedang membuat rondaan. BERNAMA

Artikel Lain