suria

Halimah Sadique ganti Markiman sebagai Pengerusi LPKP

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohd Sadique hari ini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang baru menggantikan Datuk Markiman Kobiran yang meletakkan jawatan pada 10 Jun lepas.

Pelantikan Halimah yang berkuatkuasa sertamerta itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di pejabatnya.

Nazri berkata pelantikan Halimah ke jawatan itu selari dengan konsep 1Malaysia tanpa mengira jantina selain berdasarkan pengalaman dan sumbangan beliau dalam menguruskan hal-hal berkaitan pengangkutan.

"Saya tidak melihat beliau sebagai wanita tetapi melihat khidmat, sumbangan dan kerja beliau selama ini sebagai anggota exco kerajaan negeri Johor dan ahli Dewan Undangan Negeri selama tiga penggal mulai tahun 1995," katanya pada majlis penyerahan tugas antara Halimah dan Markiman.

Markiman telah dilantik sebagai pegawai khas kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu, Halimah yang merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan tertinggi dalam LPKP itu, berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan keyakinan kepada wanita untuk mengambil peluang untuk belajar sambil melaksanakan tanggungjawab.

"Semoga saya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya kepada pemberita.

Beliau akan memulakan tugasnya dengan melawat Terminal Bas 2 di Seremban Khamis ini.

Halimah juga berkata buat masa ini, beliau akan mengkaji Akta LPKP.

"Apa-apa sahaja fokus yang diberikan oleh Menteri akan menjadi keutamaan saya dalam menjalankan tugas dan saya juga akan meneruskan apa yang telah dibuat oleh Datuk Markiman," katanya lagi. BERNAMA

Artikel Lain