suria

H1N1: 2 lagi kes baru, kini meningkat 17 kes

KUALA LUMPUR: Dua lagi kes baru Influenza A (H1N1) dikesan dalam negara, menjadikan jumlah kes-kes jangkitan penyakit itu sehingga pukul 2.30 petang ini berjumlah 17, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Isnin, beliau berkata semua kes yang dikesan adalah kes import.

Katanya kes ke-16 membabitkan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun yang merupakan pemastautin Amerika Syarikat yang berkunjung ke Malaysia untuk melawat keluarga di Sabah.

Katanya pelajar ini tiba di Kota Kinabalu dengan penerbangan MH385 dari Hong Kong pada 13 Jun lepas.

"Beliau dikesan dan disahkan demam semasa saringan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu di samping mempunyai simptom batuk. Kes in dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, dan beliau disahkan menghidap jangkitan influenza A(H1N1) pada pukul 12.17 tengah hari ini," menurutnya.

Dr Mohd Ismail berkata ibu pelajar ini yang juga menaiki pesawat yang sama diletakkan di bawah kuarantin dan berada dalam keadaan sihat buat masa ini.

Sementara itu menurutnya kes ke-17 pula membabitkan seorang wanita rakyat tempatan berumur 26 tahun, yang melancong ke Melbourne, Australia dari 4 hingga 13 Jun lepas.

Beliau berkata wanita itu balik ke Malaysia dari Melbourne dengan menaiki pesawat Air Asia X D7 2723 dan sampai di LCCT pada pukul 7.15 pagi, 13 Jun lepas.

Katanya wanita ini mengalami simptom jangkitan influenza semalam sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan dimasukkan ke hospital itu pada hari yang sama.

"Beliau disahkan mengidap influenza A(H1N1) pada pukul 12.35 tenga hari ini," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan sedang mengesan kesemua kontak termasuk krew penerbangan dan penumpang MH 385 yang mendarat di Kota Kinabalu pada 13 Jun 6.10 petang dan Air Asia D7 2723 yang mendarat di LCCT pada 13 Jun pukul 7.15 pagi. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

H1N1: 3 lagi kes dicatatkan

KUALA LUMPUR: Tiga kes baru Influenza A (H1N1) dikesan di negara ini menjadikan jumlah kesemua kes adalah 15, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata kes ke-13 merupakan seorang pelajar lelaki berumur 12 tahun yang bercuti selama lima hari di Manila, Filipina dari 8 hingga 13 Jun lepas bersama-sama tiga orang anggota keluarganya.

"Beliau balik ke Malaysia dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 7.05 petang pada 13 Jun melalui penerbangan terus MH705 di tempat duduk 15E," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata pelajar itu dikesan dan disahkan demam semasa saringan di KLIA di samping mempunyai simptom batuk dan telah dirujuk serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata pelajar itu disahkan menghidap jangkitan Influenza A (H1N1) semalam pada pukul 3.30 petang dan rawatan antiviral telahpun dimulakan, manakala kesemua anggota keluarganya iaitu bapa, ibu dan kakak yang merupakan kontak terdekat kes telah dikuarantin dan kini dalam keadaan sihat.

Kes ke-14 pula, katanya, merupakan seorang pelancong lelaki berumur 25 tahun warganegara British yang tiba di negara ini pada 8 Jun lepas pukul 9.35 pagi dengan menaiki pesawat EK342 dari Dubai.

Dr Mohd Ismail berkata pelancong itu telah bermalam di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Tioman dengan menaiki penerbangan Berjaya Air J8190 (tempat duduk 5A) pada 9 Jun pukul 2.30 petang dari Lapangan Terbang Subang.

"Beliau tiba di Pulau Tioman pada pukul 4 petang dan menginap di hotel, semasa berada di situ, beliau hanya berada di Mukut dan mula mengalami demam pada 10 Jun sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tekek pada 13 Jun," katanya.

Beliau berkata pelancong itu kemudian dibawa dengan bot ambulans ke Tanjung Gemuk, Rompin pada 13 Jun pukul 7.30 malam dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada hari yang sama. "Beliau disahkan menghidap jangkitan Influenza A (H1N1) pukul 3.57 petang semalam dan rawatan antiviral telahpun dimulakan serta berada dalam keadaan stabil. "Teman wanita beliau yang merupakan kontak terdekat di Pulau Tioman telah dikuarantin dan dalam keadaan sihat," katanya.

Mohd Ismail berkata kes ke-15 merupakan pelajar lelaki warganegara Malaysia berumur 16 tahun, yang tiba di negara ini untuk bercuti pada pukul 7.30 malam 13 Jun dengan menaiki pesawat Jet Star Airline 3K687 (tempat duduk 4A) dari Singapura.

"Beliau merupakan pelajar di Melbourne dan mempunyai sejarah perjalanan ke Sydney pada 9 Jun seterusnya ke Singapura dengan penerbangan Qantas QS319 (tempat duduk 30D) pukul 5 petang sebelum tiba ke Malaysia pada 13 Jun," katanya.

Mohd Ismail berkata pelajar itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang semalam dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap jangkitan itu pada pukul 1.43 pagi hari ini.

"Siasatan menunjukkan beliau mula mengalami batuk dan demam pada 9 Jun dan kini berada dalam keadaan stabil, sedang diberi rawatan antiviral manakala ibu pesakit yang menaiki pesawat sama dari Singapura sedang dikuarantin dan dalam keadaan sihat," katanya.

Kementerian Kesihatan sedang mengesan kesemua kontak termasuk krew penerbangan dan penumpang J8190 yang mendarat di Pulau Tioman pada 4 petang 9 Jun, MH705 yang mendarat di KLIA pukul 7.05 malam 13 Jun dan Jet Star Airline 3K687 yang mendarat di KLIA pukul 7.30 malam 13 Jun, terutamanya penumpang yang duduk di tiga barisan hadapan dan belakang kes terbabit.

Bagi mengesan kontak kepada kesemua kes positif, kementerian memohon kerjasama kepada penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes dengan menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk membolehkan pihak kementerian memberi nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin di rumah.

Mohd Ismail turut menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke negara yang dilanda wabak kecuali jika betul-betul tidak dapat dielakkan kerana ia bukan sahaja boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan tetapi juga akan menyebabkan keluarga dan kontak terdekat kepada kes terpaksa dirawat dan dikuarantin di negara terbabit.

"Bagi mengelakkan masalah seperti ini, kita perlu berkorban pada masa-masa genting sebegini demi keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga kita," katanya. BERNAMA

Artikel Lain