suria

Tiada kes baru influenza A (H1N1) dikesan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Tiada kes baru influenza A(H1N1) yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan keseluruhan kes yang disahkan di Malaysia kekal dengan 12 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, daripada 12 kes itu, hanya lima kes yang terakhir masih menerima rawatan, masing-masing satu kes di Hospital Sungai Buloh; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Kuala Lumpur dan dua kes di Hospital Pulau Pinang.

"Kesemua mereka telah menunjukkan respons baik dengan rawatan antivirus yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Mohd Ismail berkata, dalam tempoh 24 jam lepas, sejumlah 42 notifikasi kes yang mempunyai tanda jangkitan influenza setelah kembali dari negara yang terlibat dengan wabak berkenaan telah diterima di seluruh negara.

"Daripada jumlah tersebut, 16 kes telah dimasukkan ke wad isolasi di empat buah hospital rujukan influenza A(H1N1) bagi tujuan rawatan dan penyiasatan, manakala 26 dikenakan kuarantin di rumah.

"Sebanyak 29 daripada 42 notifikasi itu adalah negatif terhadap influenza A(H1N1) dan 13 masih menunggu keputusan," katanya.

Dr. Mohd Ismail berkata 123 kontak sedang diletakkan di bawah kuarantin di rumah dan kesemua kontak berada dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan influenza A(H1N1).

"Ini termasuk 14 kontak baru yang dikesan, iaitu enam kontak kes kelapan, empat kontak kes ke-10 dan empat kontak kes ke-12.

"Pecahan kontak keseluruhan yang sedang dikuarantin adalah 45 kontak kes kelapan, tiga kontak kes kesembilan, 15 kontak kes ke-10, 54 kontak kes ke-11 dan enam kontak kes ke-12," katanya.

Bagi mengesan kontak kepada semua kes positif, penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes diminta menghubungi Kementerian Kesihatan di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk diberikan nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin di rumah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga pukul 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan kepada WHO adalah 29,960 kes dengan 145 kematian dari 74 negara, iaitu pertambahan 133 kes dari hari sebelumnya, tanpa perubahan kepada bilangan negara dan jumlah kematian.

Pertambahan 133 kes baru adalah dari lapan buah negara iaitu Australia (67), China (22), Filipina (19), Hong Kong (11), New Zealand (9), Korea (3) dan Vietnam (1). Kementerian Kesihatan meminta individu yang baru datang atau pulang dari negara-negara terjejas agar mengehadkan pergerakan mereka dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ketibaan mereka, kata Dr Mohd Ismail.

Katanya individu yang mempunyai gejala influenza A(H1N1) perlu segera mendapatkan rawatan dan tidak melakukan aktiviti sosial yang melibatkan percampuran dengan orang ramai bagi mengelak berlakunya penularan tempatan. BERNAMA

Artikel Lain