suria

Polis tunggu laporan bedah siasat kes amah gantung diri

KAJANG: Polis akan membuka kertas siasatan jika laporan bedah siasat menunjukkan pembantu rumah warga Indonesia yang mati selepas menggantung diri menggunakan kain batik, pernah didera majikannya atau terdapat unsur jenayah lain hingga menyebabkan kematiannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Shakarudin Che Mood berkata laporan bedah siasat dari hospital akan diterima dalam tempoh terdekat dan kes berkenaan akan disiasat jika laporan menunjukkan mangsa telah dicederakan.

"Polis juga telah mengambil keterangan pasangan suami isteri yang juga majikan Nurul Widayati beberapa jam selepas berlakunya kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pondok Polis Komuniti Taman Tasik Semenyih hari ini.

Nurul Widayati, 22, berasal dari Jawa Barat, Indonesia ditemui mati tergantung di ruang tamu rumah majikannya di Taman Seri Damai kirakira 7 pagi semalam.

Mayatnya dibawa ke Hospital Kajang dan doktor mengesahkan dia meninggal dunia dalam tempoh empat jam sebelum ditemui oleh majikannya.

Sementara itu, buat julung kalinya polis Kajang membina sebuah Pondok Polis Komuniti yang ditempatkan di Taman Tasik Semenyih sebagai pendekatan merapatkan hubungan dengan masyarakat dan meningkatkan keberkesanan membanteras jenayah.

Shakaruddin berkata pondok polis itu merupakan projek fasa pertama yang dilaksanakan oleh IPD Kajang melalui pendekatan baru iaitu menubuhkan pondok polis di kawasan premis kedai.

"Pendekatan ini bukan sahaja menyahut saranan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tetapi juga memenuhi kehendak masyarakat setempat yang amat memerlukan kehadiran polis agar sentiasa berdekatan dengan mereka," katanya.

Beliau berkata polis menghargai kesediaan BTS Land yang membina pondok polis berkenaan yang mula beroperasi hari ini.

"Pondok Polis ini diketuai oleh Koperal Mad Fisol Saad dan dibantu seorang Lans Koperal serta tiga Konstabel. Penduduk boleh membuat aduan dan laporan polis pada bilabila masa dan anggota kita akan sedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain