suria

Marin patahkan cubaan seludup keluar 17 warga Iraq, 4 Indonesia

PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin mematahkan cubaan menyeludup keluar 17 warga Iraq dan empat warga Indonesia selepas menahan sebuah bot di perairan Pulau Angsa di sini, Sabtu.

Kesemua warga asing itu yang ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi dipercayai sedang dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pelabuhan Klang DSP Marzuki Ismail berkata turut ditahan dalam operasi tersebut ialah seorang tekong berusia 37 tahun dari Tanjung Balai, Indonesia dan dua awak-awak berumur 58 dan 38 tahun.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati 17 warga Iraq terlibat mempunyai pasport yang sah sementara empat warga Indonesia pula tiada sebarang dokumen.

"Kita percaya kesemua warga Iraq yang tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) antara 1 Jun hingga 6 Jun lalu menjadikan negara ini sebagai transit sebelum mereka menuju ke Indonesia seterusnya ke destinasi mereka iaitu Australia," kata Marzuki kepada pemberita di Pangkalan Pasukan Gerakan Marin Selangor di sini,Sabtu.

Katanya siasatan awal mendapati kegiatan itu didalangi oleh seorang warga tempatan dan gerakan mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan.

Marzuki berkata kesemua yang ditahan telah dibawa masuk ke Pangkalan Pasukan Gerakan Marin di sini untuk tindakan lanjut.

"Semua warga asing ditahan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) atas kesalahan masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak dibenarkan atau jalan yang tidak diwartakan.

"Tekong bot pula ditahan mengikut Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) atas kesalahan dengan sengaja memberi perlindungan kepada orang yang diketahui telah melanggar peruntukan akta ini," kata Marzuki. BERNAMA

Artikel Lain