suria

Bakal Timbalan Presiden MIC: Kriteria Samy Vellu

SUNGAI SIPUT: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata, pemimpin yang ingin menduduki kerusi Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan September ini perlu mempunyai kriteria yang baik dan boleh bekerjasama dengan beliau.

"Orang yang terpilih kelak hendaklah boleh bekerjasama dengan saya dan mahu mengambil perhatian yang serius terhadap masalah kaum India di negara ini," katanya.

Samy Vellu bagaimanapun berkata sehingga kini beliau masih belum memikirkan siapa yang sesuai untuk berganding dengannya.

Sebelum ini, Presiden MIC itu berkata, beliau akan mengumumkan sama ada akan menyokong mana-mana calon atau sebaliknya dalam pemilihan parti 12 September ini.

"Semua yang akan bertanding juga hendaklah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan parti dan dinasihatkan tidak melanggarinya. Sebagai ketua parti, saya akan memantau perkara ini.

"Ahli parti tidak boleh mengambil sikap membuat apa saja yang dia suka kerana ini akan memudaratkan parti," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini.

Pemilihan parti pada 12 September ini akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti.

Bekas Timbalan Presiden, Datuk S. Subramaniam dan Naib Presiden semasa Datuk S. Sothinathan telah mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden manakala penyandang Datuk G. Palanivel masih belum mengumumkan pendiriannya.

Seorang lagi bakal pesaing bagi jawatan itu ialah Menteri Sumber Manusia dan setiausaha agung parti Datuk Dr S. Subramaniam. BERNAMA

Artikel Lain