suria

Perbincangan kerajaan perpaduan tidak harus dikhuatiri - Mukhriz

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata rakyat dan penyokong Barisan Nasional (BN) tidak perlu risau mengenai perbincangan kerajaan perpaduan dengan Parti PAS kerana ia mampu menstabilkan negara.

Beliau yang berucap dalam ceramah semasa program Mesra Bersama Rakyat di sini berkata tanpa perpaduan, keadaan politik dan ekonomi tidak akan stabil.

"Apabila kita bersengketa, keadaan kacau-bilau, macam mana kita boleh mencapai kestabilan? Dahulu Malaysia pernah dikenali sebagai Harimau Asia dan pelabur-pelabur asing berlumba-lumba datang untuk melabur.

"Tetapi, sekarang, apabila pembangkang asyik membangkitkan isu-isu yang remeh-temeh, membuat kacau-bilau, tunjuk perasaan, ekonomi kita juga akan terjejas.

"Pembangkang menyatakan bahawa pelabur tidak mahu ke mari kerana polisi kerajaan, tetapi ini tidak benar," katanya.

Beliau berkata pelabur berasa sangsi terhadap Malaysia kerana mempunyai persepsi ketidakstabilan politik.

"Dahulu, apabila terdapat tunjuk perasaan di negara jiran, kita geleng kepala mempersoalkan bagaimana mereka boleh mentadbir negara. Malangnya sekarang kita juga alami keadaan yang sama," katanya. BERNAMA

Artikel Lain