suria

Nilai aset air Selangor tidak munasabah antara punca isu air lambat selesai - Najib

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini berkata isu air di Selangor lambat diselesaikan kerana nilai aset air yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri adalah tidak munasabah.

Tidak ada paksaan kepada kerajaan negeri untuk berhijrah kepada sistem atau rejim pengurusan air baru di Malaysia, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor yang diterajui beliau.

"Kerajaan Selangor boleh kekal dalam rejim yang sedia ada tetapi dia terpaksa menanggung implikasi daripada keputusan itu. Jadi kalau dia pindah rejim yang baru maka dia kena rundingkan perkara ini.

"Soalnya, masalah kelambatan ini ialah, nilai yang ditetapkan oleh kerajaan Selangor itu bukan nilai yang munasabah," katanya.

Kerajaan Pusat telah memberi notis kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu ini, katanya.

"Kita nak menyatakan jika apa-apa berlaku, ini bukan kesalahan kerajaan pusat, kita dah bagi notis yang secukupnya kepada kerajaan negeri," kata Najib.

Apabila ditanya bilakah notis itu berakhir, Najib berkata beliau tidak berapa ingat akan tarikhnya tetapi ia telah diserahkan kepada Kerajaan Selangor.

Najib berkata di dalam mesyuarat itu beliau juga telah meminta isu air ini diperjelaskan kepada semua pemimpin UMNO supaya dapat dihuraikan oleh mereka secara tepat kepada pihak orang ramai.

Selain itu, beliau berkata antara isu yang perlu diberi perhatian dan penjelasan oleh kerajaan pusat ialah mengenai perumahan dan tol.

Sebelum ini, kerajaan negeri menawarkan untuk menjual aset-aset bekalan airnya kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) agensi dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan pada harga RM9.7 bilion.

Kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Bhd telah mencadangkan penstrukturan semula industri air di Selangor dengan mengambil alih syarikat-syarikat pemegang konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan aset-aset mereka.

Bagaimanapun, tawaran kerajaan negeri untuk membeli keseluruhan hak konsesi dan aset keempat-empat syarikat itu pada harga di antara RM5.5 hingga RM6 bilion nampaknya masih belum dapat diselesaikan di mana dilaporkan ada syarikat-syarikat konsesi yang menolak tawaran harga yang diberikan kepada mereka.

Di bawah penstrukturan semula industri air negara, PAAB akan mengambil alih aset dan tanggungan berkaitan aset daripada syarikat-syarikat air yang sedia ada dan operasi-operasi syarikat air ini akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). BERNAMA

Artikel Lain