suria

Najib tiba di Kuching untuk sambutan Gawai Dayak

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini untuk meraikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2009 yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam ini.

Ketibaan beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 4.40 petang disambut oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta menterimenteri Kabinet persekutuan dan negeri.

Najib dijangka menghadiri majlis itu yang bertemakan "1Malaysia Segulai Sejalai" (1Malaysia Seiring Sejalan) bertujuan menonjol dan membuktikan kepada dunia semangat toleransi dan muhibbah menerusi kesedaran rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta agama dapat menerima hari kebesaran kaim lain sebagai perayaan bersama.

Majlis anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan kerajaan negeri Sarawak itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beberapa acara dan persembahan kebudayaan yang unik daripada pelbagai suku kaum di Sarawak juga akan dipersembahkan pada majlis itu.

Perayaan Gawai Dayak diraikan oleh masyarakat Dayak yang terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran selepas tamat musim menuai pada awal Jun. BERNAMA

Artikel Lain