suria

H1N1: Kes ke-12 di Malaysia babitkan pelajar pulang dari Melbourne

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan satu lagi kes influenza A (H1N1) hari ini manjadikan jumlah keseluruhan 12 kes.

Kes terbaru adalah melibatkan seorang pelajar perubatan berusia 19 tahun pulang dari bercuti selama 17 hari di Melbourne.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, pelajar berkenaan telah pulang besama tiga lagi rakannya menggunakan penerbangan MH148, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Jun (Rabu) lalu, kira-kira pada jam 9.21 malam.

"Pelajar berkenaan tidak sakit semasa tiba di KLIA, namun mula demam pada hari Khamis dan telah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 12 Jun lalu pada jam 3 petang dan seterusnya dirujuk dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur pada hari sama jam 5.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujian yang dilakukan kepada pelajar tersebut pagi ini menunjukkan beliau positif virus H1N1.

"Pada masa ini pelajar berkenaan berada dalam keadaan stabil dan ibu bapanya yang tidak tinggal bersama kini menjalani kuarantin rumah," katanya.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan telah mengesan lima kontak di kalangan rakanrakan penuntut tersebut untuk dikuarantin, selain penumpang yang menaiki pesawat MH148 bersama-sama beliau terutama yang berada di tempat duduk barisan 33 hingga 39.

"Kementerian Kesihatan bimbang dengan situasi ini dan menyeru kepada sesiapa yang baru datang atau pulang dari negara-negara yang terjejas agar mengehadkan perjalanan mereka dalam masa tujuh hari dan sekiranya mempunyai gejala Influenza A(H1N1) segera mendapatkan rawatan dan jangan melakukan aktiviti sosial yang melibatkan percampuran dengan orang lain," kata beliau.

Menurut Dr Mohd Ismail, pada masa ini, sebanyak lima kes masih dalam rawatan di Hospital Sungai Buloh (1), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (1), Hospital Pulau Pinang (2) dan Hospital Kuala Lumpur (1).

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam, sejumlah 33 notifikasi kes yang mempunyai gejala jangkitan influenza selepas kembali dari negara yang terlibat dengan wabak Influenza A (H1N1) diterima dari seluruh negara dan 27 kes telah dimasukkan ke wad isolasi di enam hospital rujukan bagi tujuan rawatan dan penyiasatan.

Khamis lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan peningkatan amaran daripada fasa 5 ke fasa 6, iaitu fasa pandemik Inluenza A (H1N1) yang merebak secara berleluasa ke seluruh dunia dengan 22 negara mempunyai penularan tempatan.

Setakat ini, Malaysia belum lagi melaporkan kes tempatan.

Menurut kenyataan itu, WHO juga memaklumkan sehingga pukul 8 pagi tadi di seluruh dunia, sebanyak 29,827 kes Influenza A(H1N1) dengan 145 kematian di 74 negara dengan pertambahan 1,007 kes dari 25 negara dengan majoritinya di Kanada (532), Sepanyol (131), Argentina (87), Australia (84) dan Jepun (31) serta satu kematian di Guatemala. Dr Mohd Ismail berkata memandangkan ramai penuntut dari Amerika Syarikat dan Eropah akan pulang bercuti pada masa ini, aktiviti kawalan seperti saringan di pintu masuk negara telah dipertingkatkan.

"Kementerian Kesihatan sekali lagi ingin menegaskan dan meminta kerjasama kepada semua pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang ingin pulang bercuti semasa musim panas (di negara berkenaan), untuk menangguhkan perjalanan pulang sekiranya mereka mempunyai gejala-gejala jangkitan influenza," katanya.

Penuntut terbabit juga dinasihatkan agar mendapatkan rawatan terlebih dahulu sehingga sembuh sebelum pulang ke Malaysia dan melaporkan diri kepada pasukan perubatan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa jika mereka tidak sihat.

Beliau berkata mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dalam masa tujuh hari selepas tiba di Malaysia, diminta segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagi mengesan kontak kepada semua kes positif terbaru ini, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama penumpang, anak kapal dan kontak kes itu menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300 bagi membolehkan pihak berkenaan memberikan nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin rumah, katanya.

Artikel Lain