suria

Dua pengawal keselamatan maut dihentak perompak

SHAH ALAM: Dua pengawal keselamatan maut, dengan seorang daripadanya hampir terputus telinga dalam satu kejadian samun di sebuah kilang besi buruk di Batu 6, Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, Supil Rasban, 75, dan rakan sekerjanya dari Nepal, Gangga Bahadur, 32, mati di tempat kejadian akibat dipercayai dihentak dengan benda tumpul di kepala.

Mayat warga Nepal itu ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dalam keadaan cuba ditimbus menggunakan batu-bata manakala mayat warga emas ditemui bersebelahan timbunan besi buruk berdekatan pondok pengawal.

Difahamkan ketika kejadian, dua pengawal keselamatan terbabit sedang bekerja syif malam, dengan Supil berada di pondok pengawal manakala Gangga melakukan rondaan di sekitar kawasan kilang membawa seekor anjing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan, berkata siasatan awal mendapati suspek-suspek memasuki kilang terbabit dengan memotong pagar sebelum masuk melalui pintu utama dipercayai menggunakan sebuah lori.

"Sejurus kemudian berlaku pergelutan yang membawa kepada pembunuhan dua pengawal keselamatan itu. Mangsa warga tempatan yang terbunuh itu turut mengalami kecederaan di telinga kiri manakala warga Nepal itu mengalami kecederaan teruk di bahagaian kepala.

"Anjing mangsa turut dicederakan," kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian itu lebih daripada lima orang bersenjatakan parang dan menggunakan sebuah lori enam tayar.

Menurut Hasnan, penyamun terbabit melarikan empat batang besi seberat empat tan dengan mengangkutnya ke dalam sebuah lori menggunakan forklift milik kilang terbabit.

"Kita tidak menolak suspek mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk memindahkan besi ke dalam lori sebelum dilarikan.

"Siasatan juga tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Lain