suria

Tiga dihukum gantung edar kanabis

JOHOR BAHARU: Tiga lelaki dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar kanabis lebih enam tahun lepas.

P. Samugem, 32, S. Prakash, 36, dan V. Kumaran, juga 36, dituduh mengedar 45.49 kg dadah itu di Jalan Perwira 2, Taman Ungku Tun Aminah di sini, pada 11 malam 1 Nov 2002.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Azahar Mohamed berkata, keputusannya didasarkan kepada keterangan bahawa Samugem dan Prakash telah berunding mengenai harga dadah itu dengan seorang anggota polis yang menyamar sebagai pembeli manakala Kumaran pula adalah pemandu kereta yang membawa dadah berkenaan.

Katanya alasan pihak pembelaan kononnya ketiga-tiga tertuduh itu menyangkakan mereka menjual rokok seludup tidak boleh diterima.

Peguam Faris Zahid, yang mewakili Samugem, dan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Prakash dan Kumaran, berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Pendakwaan dijalankan oelh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain