suria

Status ADUN Jawi mirip 3 bekas wakil Pakatan Perak?

PETALING JAYA: Apakah surat letak jawatan tanpa tarikh yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Pulau Pinang, Tan Beng Huat akan menerima nasib sama yang dialami tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak awal Februari lalu?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat memberikan pendiriannya buat masa sekarang kerana belum menerima apa-apa makluman rasmi tentang wujudnya kekosongan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

"Kita belum menerima apa-apa makluman (tentang kekosongan kerusi) daripada Speaker.

"Jika SPR menerima makluman daripada Speaker, SPR akan meneliti dan mengesahkan kesahihan kandungan surat letak jawatan berkenaan," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof ketika dihubungi mStar Online.

Tan telah mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng atas arahan DAP Pulau Pinang.

Lim mengarahkan surat berkenaan daripada Tan bagi menunjukkan kerajaan negeri itu mengamalkan konsep Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti, kata Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

"Kami memohon surat peletakan jawatan tidak bertarikh itu bagi membuktikan bahawa kami adalah telus dan Tan juga telah mengemukakan surat itu kepada parti," katanya.

Ketua Bahagian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong menuduh Tan melakukan penyelewengan berhubung penajaan RM2,000 untuk sebuah pertubuhan amal tempatan.

Tan berkata, beliau akan membiarkan kepada parti untuk memutuskan nasibnya dan sedang memikirkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Teh.

"Saya berbesar hati untuk mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada kepimpinan parti kerana parti mempunyai hak untuk bertindak terhadap rasuah," katanya.

Ketika mengulas lanjut tentang isu berkenaan, Aziz memberitahu: "Ini adalah urusan dalaman parti politik... bagi kami di SPR, apabila menerima surat (letak jawatan) daripada Speaker, kami akan menganalisis dan melihat surat letak jawatan itu, adakah tulen ataupun sebaliknya."

Dalam keadaan kes tiga ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang di Perak, jelas Aziz, wujud keraguan berhubung kesahihan surat letak jawatan dan surat penafian oleh ketiga-tiga wakil rakyat terbabit.

"Surat letak jawatan cuma dua perenggan tetapi surat penafian ada kepala surat, diturunkan cap dengan penjelasan panjang," katanya.

Ketiga-tiga ADUN berkenaan menafikan mereka telah meletakkan jawatan dengan menegaskan bahawa memang ada menandatangani surat letak jawatan sejurus selepas pilihan raya Mac 2008.

Sedangkan isu letak jawatan itu timbul awal Februari lalu.

Ekoran keraguan itu, SPR memutuskan bahawa status ADUN ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan kekal dan tidak perlu diadakan pilihan raya kecil.

Notis makluman kekosongan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dikemukakan oleh Speaker DUN.

Artikel Berikut

Artikel Lain