suria

Puteri Umno tumpu pengundi muda di Manek Urai

KUALA KRAI: Puteri Umno akan mengadakan kursus dan latihan untuk anggotanya sebagai persediaan dalam menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Manik Urai pada 14 Julai ini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata program itu adalah sebahagian daripada gerakan Puteri Umno dengan menumpukan kepada pengundi muda selain menjalankan kempen dari rumah ke rumah dan menggunakan teknologi terkini.

"Tumpuan kami adalah kepada 5,700 orang termasuk pengundi muda lelaki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Perdana untuk warga emas di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di sini hari ini.

Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, turut menyampaikan sumbangan hamper dan menyampaikan kerusi roda kepada seorang penduduk Kampung Manik Urai Lama, Nuh Harun, 70, yang lumpuh sejak tiga tahun lalu.

Selepas majlis itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Exco Puteri Umno di Pejabat Umno Negeri di Kota Baharu bagi mengatur strategi menghadapi pilihan raya kecil itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain