suria

Pengarah syarikat kenderaan terpakai didakwa terima rasuah RM30,000

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat kenderaan terpakai, TopMark UMW Toyota, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah RM30,000, tiga hari lalu.

Yeoh Onn Hee, 49, didakwa menerima rasuah itu, daripada Yee Kuat Min melalui seorang lelaki iaitu Tan Boon Keat, sebagai dorongan untuk membantu memberi semula hak untuk membeli kenderaan terpakai kepada Syarikat G&C Auto Enterprise.

Yeoh yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat TopMark UMW Toyota, No 52 Jalan Penchala, pada 2.15 petang, 9 Jun lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak melebihi lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Ng Siew Wee.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini pula, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencabul seorang anggota polis wanita, Mei lepas.

Yusri Yusof dari cawangan narkotik, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul mangsa, di Pejabat Detektif, Cawangan Narkotik Petaling Jaya, di Tingkat 7, Menara Chong Floor On pada 5.35 petang, 26 Mei lepas.

Yusri yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau sebat atau mana-mana daripada seksaan tersebut jika sabit kesalahan.

Majistret Ho Kwong Chin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Cif Insp Azaidi Ab Latif. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain