suria

Pemberi pinjaman wang mati ditembak

RAWANG: Seorang pemberi pinjam wang mati ditembak dan ditetak di leher di rumah ibunya di Kampung Kuala Garing di sini hari ini.

Kolandasamy a/l David, 47, ditemui oleh isterinya K. Renganagei, 51, selepas beliau terdengar pertengkaran mangsa dengan tiga lelaki di luar rumah pada 8.20 pagi tadi, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Khaw Kok Chin.

"Selepas berlaku pertelingkahan antara mangsa dengan suspek, salah seorang suspek yang membawa sepucuk pistol melepaskan dua das tembakan dan salah satu das mengenai rusuk kanan serta menembusi di bahagian perut mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Seorang lagi suspek yang bersenjatakan parang pula bertindak menetak leher Kolandasamy yang disaksikan oleh isterinya, kata Khaw.

"Akibat ketakutan, isteri mangsa lari masuk ke dalam rumah manakala ketigatiga suspek itu melarikan diri," katanya.

Katanya polis menemui dua kelongsong peluru dan satu peluru hidup di tempat kejadian. "Kita masih menyiasat kes ini sama ada berkaitan dengan pergaduhan atau pinjaman wang, mungkin juga berkaitan dadah," katanya.

Kolandasamhy, yang juga penternak kambing, dipercayai masih bernyawa ketika dibawa ke Hospital Tawakal di Kuala Lumpur oleh ahli keluarganya, tetapi disahkan meninggal dunia setibanya di hospital.

Kolandasamy, yang tinggal di Taman Garing Jaya di sini, dipercayai kerap ke rumah ibunya itu setiap pagi bagi melihat ternakannya.

Kakak iparnya yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh Renganagei dan bergegas ke tempat kejadian dari rumahnya di Petaling Jaya.

"Meera (Renganagei) cakap ada tiga lelaki sedang berbual dengan suaminya di luar rumah ketika dia sedang bersarapan dalam rumah, lepas itu dia keluar tengok suaminya sudah berlumuran darah dan masa itu tiga lelaki masih ada," katanya.

Beliau berkata seorang suspek yang terlihat Renganagei di muka pintu melepaskan satu das tembakan ke arahnya namun tersasar.

"Dia lari masuk ke dalam rumah dan ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri," katanya.

Kolandasamy, yang juga ketua kampung di situ, merupakan anak kelima daripada tujuh beradik.

"Dia tidak pernah mempunyai musuh malah jarang bercerita mengenai kerjanya pada ahli keluarga," kata kakak iparnya itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain