suria

Pelabuhan Klang, Cheras catat kualiti udara tidak sihat

PETALING JAYA: Cheras dan Pelabuhan Klang merupakan dua kawasan yang mencatatkan kualiti bacaan udara tidak sihat hari ini, masing-masing di paras API 107 dan 138.

Pembakaran terbuka juga telah dikesan di beberapa bahagian dalam daerah Sepang dan kawasan Johan Setia di Kuala Lumpur.

Sehingga pukul 11 pagi tadi, Jabatan Alam Sekitar mendapati 30 lagi kawasan lain mencatatkan bacaan sederhana manakala 18 lokasi merekodkan bacaan baik.

Kawasan lain yang mencatatkan julat tidak sihat di antara 101 dan 200 termasuklah Shah Alam (95), Petaling Jaya (92) dan Kajang (97).

Sehingga tengah hari tadi, jarak penglihatan di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah kurang empat kilometer.

Petaling Jaya merekod bacaan-bacaan jarak penglihatan dua kilometer pada pukul 9 pagi dan kemudiannya bacaan itu bertambah baik kepada lima kilometer pada pukul 12 tengah hari.

Sementara itu REUTERS melaporkan jumlah kebakaran hutan di Indonesia yang semakin meningkat turut memberi kesan jerebu kepada Malaysia.

Sehingga kini 47 "titik panas" direkodkan di wilayah Riau di Sumatera.

Rekod tersebut berdasarkan pengawasan satelit dan suhu dikesan pada tahap luar biasa tinggi ialah 35 darjah Celcius (95 F).

"Bilangan titik panas berpotensi untuk meningkat dan situasi jerebu bertambah buruk jika tiada hujan," kata ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik di Riau, Blucer Dolok Saribu.

Artikel Berikut

Artikel Lain