suria

Mahkamah putuskan 3 Julai kesahihan pelantikan Rajasekaran

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan pada 3 Julai mengenai kesahihan pelantikan G.Rajasekaran sebagai setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Ariff Md Yusof menetapkan tarikh itu hari ini selepas mendengar penghujahan daripada peguam R.Sivarasa yang mewakili plaintif dan peguam Rajasekaran, D.Kalaimany.

Pihak plaintif iaitu Kesatuan Pekerjapekerja Kelab Semenanjung Malaysia dan setiausaha agungnya, Abdullah Sani Abdul Hamid, mencabar pelantikan Rajasekaran dengan mendakwa enam perwakilan yang tidak layak daripada empat kesatuan dalam MTUC telah mengambil bahagian secara tidak sah dalam pemilihan itu.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan pemilihan jawatan utama MTUC bagi penggal 20082010 tidak sah selain memerintahkan kongres itu mengadakan pemilihan semula dalam masa 60 hari.

Rajasekaran memenangi jawatan setiausaha agung setelah mengalahkan Abdullah Sani dengan majoriti empat undi. Beliau memperoleh 259 undi manakala Abdullah Sani pula 255 undi.

Dalam penghujahannya, Kalaimany berkata plaintif tidak dinafikan peluang untuk menyemak senarai pewakilan yang menghadiri persidangan perwakilan tiga tahun sekali MTUC kerana senarai itu sedia ada untuk disemak pada Mesyuarat Majlis Am badan berkenaan.

Sivarasa pula berhujah Rajasekaran telah gagal menyediakan senarai kepada perwakilan ketika pemilihan itu diadakan bagi membolehkan plaintif mengesahkan kelayakan perwakilan dan hak mereka untuk mengundi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain