suria

IPT disaran libatkan diri dalam pembangunan modal insan kanak-kanak

SEREMBAN: Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu memainkan peranan aktif dalam mengembangkan potensi, bakat dan kualiti dalam pembangunan modal insan di kalangan kanak-kanak.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata IPT tempatan perlu keluar daripada kepompong dunia akademik dengan membabitkan diri dalam program pembinaan potensi seperti yang dilakukan oleh IPT di luar negara.

"Saya mendapati IPT di luar negara tidak lagi membataskan peranan sebagai institusi menara gading sahaja malah menganjurkan pelbagai program kanak-kanak," katanya pada majlis perasmian Kem Harapan Sapura di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Bandar Baru Nilai, dekat sini, hari ini.

Misalnya, katanya Pusat Bagi Remaja Berbakat di John Hopkins University, Amerika Syarikat, telah terbabit secara khusus dalam menganjurkan kem musim panas untuk kanak-kanak pintar dan berbakat.

Beliau, yang juga penaung Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM), berkata Universiti Nasional Singapura telah menubuhkan Sekolah Tinggi Matematik dan Sains bagi menguruskan kanak-kanak pintar dan cemerlang dalam membangunkan modal insan bagi memartabatkan negara itu di mata dunia dari segi sahsiah, ekonomi dan pendidikan.

Rosmah berkata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Permata Pintar iaitu perkhemahan cuti sekolah untuk pelajar pintar dan cerdas berusia sembilan hingga 15 tahun.

"Justeru itu, saya menyarankan USIM untuk mengambil pendekatan sama dengan mewujudkan kerjasama strategik dengan YHKM dalam mentransformasi tahap kecemerlangan akademik, akhlak dan kehidupan golongan kanakkanak yang tidak bernasib baik di negara ini," katanya.

Rosmah berkata Kem Harapan tajaan Kumpulan Sapura tahun ini adalah kali kedua anjuran YHKM selepas kali pertama diadakan di Kem Terendak, Melaka, tahun lepas.

"Kem Harapan Sapura kali ini adalah contoh terbaik kerjasama strategik di antara sebuah syarikat korporat dan pertubuhan kebajikan seperti YHKM dalam menyempurnakan misi dan visi kebajikan," katanya.

Seramai 300 peserta yang terdiri daripada golongan anak-anak yatim dan pelajar daripada keluarga yang tidak berkemampuan mengikuti kem tiga hari itu yang bermula semalam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain