suria

Hak pekerja Malaysia dipelihara, ILO diberitahu

PUTRAJAYA: Malaysia berjaya mengurangkan kesan sosial berikutan kemelesetan ekonomi global terutamanya terhadap tenaga kerjanya melalui langkah segera dan proaktif, Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland diberitahu.

"Kita adakan mekanisme pemantauan tiga pihak tertinggi bagi memastikan impak krisis ekonomi ini tidak menjejaskan hak pekerja kita," kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam pada ILO ke-98 Khamis.

Beliau berkata pakej rangsangan pertama dan kedua yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia telah meringankan impak krisis ekonomi itu.

"Pakej rangsangan itu menumpukan pengwujudan peluang pekerjaan baru untuk golongan belia dan graduan menganggur, menyediakan kemahiran semula kepada pekerja yang diberhentikan kerja dan memperkenalkan langkahlangkah untuk memendekkan waktu bekerja sementara menjalani latihan bagi pekerjaan yang disasarkan dalam mengelakkan pemberhentian kerja.

"Ia juga membantu pencari kerja dengan menyediakan maklumat mengenai corak pasaran yang ada dan kekosonagn pekerjaan," katanya dalam ucapan pada persidangan tahunan itu. Teks ucapan beliau diperoleh di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata pakej rangsangan itu juga meringankan beban rakyat dengan menyediakan bantuan kewangan terus khasnya kepada kumpulan yang memerlukan dan membantu sektor swasta menghadapi krisis ekonomi ini melalui pengurangan kos dalam menjalankan perniagaan.

Katanya hasrat untuk mewujudkan order ekonomi global baru adalah murni, malangnya, kebenaran ialah ia tidak ke arah untuk mencapai dan merealisasikan hasrat yang dicita-citakan.

"Sebaliknya, apa yang kita alami ialah kesan permainan antara yang kuat dan yang lemah, maju dan kurang maju serta kaya dan miskin.

"Sudah tiba masanya untuk kita mencerminkan contoh order ekonomi baru yang lain, yang melindungi prinsip sistem pasaran bebas yang akan juga memastikan kebebasan itu jangan dilaksanakan dengan risiko yang memudaratkan sistem ekonomi global dan membahayakan penduduk kita dengan menimbulkan pengangguran dan kemiskinan," tambah beliau. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain