suria

Warga Indonesia dipenjara 60 bulan kerana rompak pengawal keselamatan

KUALA LUMPUR: Seorang warganegara Indonesia dihukum penjara 60 bulan dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan merompak dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Misnawi, 24, seorang penganggur, juga dihukum penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu 14 Nov 2007.

Bagi pertuduhan pertama Misnawi didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas dengan niat bersama merompak pengawal keselamatan S. Letchuaman, 27, dengan mencuri 11 batang besi perancah yang berada di bawah pengawasan Letchuaman di sebuah tapak projek pembinaan di Jalan Klang Lama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tapak Projek, 117, Kuchai Avenue, Jalan Klang Lama, pada pukul 4 pagi, 14 Nov 2007.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Misnawi didakwa telah tinggal di Malaysia lebih dari masa yang ditetapkan di tempat dan masa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 159/63 pindaan 2002.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala Misnawi diwakili peguambela Tina Ong. BERNAMA

Artikel Lain