suria

RM500,000 lesap, pemandu van keselamatan dicari

KUALA LUMPUR: Tiga pengawal keselamatan tergamam melihat salah satu daripada 20 karung berisi wang tunai sejumlah RM500,000 dalam van perisai lesap manakala pemandunya turut menghilangkan diri.

Kejadian berlaku pada pukul 6.30 petang ini apabila tiga pengawal berkenaan dari sebuah syarikat kawalan keselamatan kembali semula ke van tersebut selepas membuat kutipan di Menara Perkeso, Jalan Ampang, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt. Abdul Rahim Hamzah berkata siasatan awal mendapati bumbung di bahagian pemandu terbuka dan tiada kesan umpil pada van tersebut.

"Kita dapati bahagian bumbung pemandu yang dipanggil 'emergency hatch' itu terbuka dan pemandu van tersebut turut menghilangkan diri," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Abdul Rahim berkata pintu van tersebut berkunci dari dalam dan enjin van itu masih hidup.

Beliau berkata polis sedang cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan tempat kejadian di mana van tersebut diletakkan di hadapan bangunan itu.

"Tiga pengawal keselamatan berusia dalam lingkungan 30-an akan dipanggil untuk memberi keterangan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.

Polis sedang memburu Abdul Jalil Abdullah, 38, yang menetap di alamat terakhir di 631 Blok 1, Pangsapuri Teratai, Jalan Mustafa, U16/3A, Taman Bukit Subang, Shah Alam, untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain