suria

Polis kesan dua wanita, seorang lelaki tipu warga emas

KOTA BAHARU: Polis sedang mengesan dua wanita dan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menawarkan bantuan kepada warga emas dan ibu tunggal dengan tujuan untuk menipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Supt Hamzah Alias berkata ketiga-tiga suspek terbabit dipercayai penduduk tempatan bertindak demikian dengan tujuan untuk memperdayakan mangsa bagi mendapatkan wang dan barang kemas.

"Suspek menyamar dengan menawarkan bantuan kepada mangsa dengan tujuan untuk menarik kepercayaan warga tua dan ibu tunggal menyerahkan wang dan barang-barang kemas yang dimiliki mereka," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Hamzah berkata bahawa sejak Januari lepas, sebanyak tujuh kes penipuan seperti itu dilaporkan berlaku di Kelantan membabitkan kerugian antara RM5,000 dan RM10,000 kepada setiap mangsa. BERNAMA