suria

Pemakaian topeng muka tidak diwajibkan ekoran H1N1

PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan mewajibkan orang ramai memakai topeng muka berikutan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan meningkat di negara ini dan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata orang ramai digalakkan berbuat demikian sebagai inisiatif sendiri.

"Kita akan galak orang ramai pakai topeng, terutamanya mereka yang mengalami batuk atau selesema. Tetapi kita tidak akan mewajibkan pemakaian topeng," katanya ketika ditanya jika kementerian itu mempertimbangkan pemakaian topeng muka, setelah Malaysia mengesahkan dua lagi kes positif Influenza A(H1N1) hari ini.

Malaysia kini mengesahkan 11 kes positif sementara jumlah kes yang dilaporkan di seluruh dunia setakat ini ialah 27,824 kes.

Beliau juga menggesa orang ramai agar lebih berjaga-jaga mengenai kesihatan mereka dan menemui doktor jika ada tanda-tanda influenza.

"Saya fikir setiap orang perlu lebih berhatihati mengenai kebersihannya dan kerap membasuh tangan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Guardian dan Universiti Kebangsaan Malaysian (UKM) untuk Program Latihan Sambil Bekerja Komuniti Farmasi Mahasiswa di sini hari ini. BERNAMA

Artikel Lain