suria

PAS tidak boleh kenakan prasyarat jika mahu bincang

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, PAS tidak boleh mengenakan prasyarat jika mahu mengadakan perbincangan dengan Umno.

Beliau berkata, hasrat PAS untuk mengadakan perbincangan dengan Umno merupakan satu perkembangan yang positif namun beliau tidak nampak mengapa perlu ada prasyarat seperti perbincangan yang menyentuh isu demokrasi termasuk badan kehakiman, kebebasan media dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mahu perbincangan itu diadakan.

"Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi (Awang) katakan bahawa itu sebagai prasyarat tapi saya tidak nampak kenapa isu tersebut tidak boleh dibincangkan sekali.

"Jadi jangan letak prasyarat bahawa sekiranya tidak ada perubahan dalam ketiga-tiga institusi ini, PAS tidak akan bermuzakarah dengan Umno," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di ibu pejabat Umno di sini, hari ini.

Hari ini, Abdul Hadi berkata, PAS tidak pernah menutup sebarang pertemuan dengan Umno dan kerajaan jika perbincangan yang bakal diadakan menyentuh mengenai isu demokrasi dalam negara termasuk badan kehakiman, kebebasan media dan SPR.

Berhubung cadangan PAS supaya Sisters in Islam (SIS) diharamkan, Khairy berkata, pandangan Pemuda bertentangan dengan cadangan yang dikemukan PAS itu.

"Pendirian itu juga bercanggah dengan perjuangan PAS dan kedudukan parti itu serta kedudukan Pakatan Rakyat," katanya.

Isu SIS timbul ekoran usul yang diluluskan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 agar pertubuhan itu diharamkan sekiranya didapati mengancam akidah umat Islam di negara ini.

Artikel Lain