suria

Laporan PKFZ: Jawatankuasa, pasukan petugas khas ditubuh

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengemukakan cadangan kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk tindakan susulan kerajaan berhubung laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata pasukan petugas khas itu yang dibentuk bersamasama dengan jawatankuasa tadbir urus korporat dan jawatankuasa eksekutif, mempunyai dua bulan untuk mengemukakan cadangan itu.

Kata Ong, pasukan petugas itu dibentuk atas arahan daripada kementeriannya.

"Pasukan petugas itu akan diketuai oleh peguam, Vinayak Pradhan, dari firma perundangan Skrine. Beliau akan dibantu oleh Lim Chee Wee, rakan kongsi Skrine, pengarah urusan PricewaterhouseCoopers Advisory Services (PwC), Chin Kwai Fatt, dan pengarah eksekutif kanan PwC Lim San Peen," kata beliau pada taklimat media di sini semalam.

Beliau berkata jawatankuasa tadbir urus korporat pula akan diketuai oleh presiden TransparencyInternational Malaysia, Datuk Paul Low.

"Ia akan menyelia semua isu tadbir urus bagi memastikan kesilapan yang telah dikenal pasti dalam laporan tidak berlaku lagi di masa depan".

Ong berkata jawatankuasa eksekutif akan merancang dan memantau perkembangan perniagaan zon perdagangan itu.

"Pada masa yang sama jawatankuasa itu perlu memastikan semua aktiviti masa depan dan perkembangan baru di PKFZ dilaksanakan dengan cara yang kos efektif dan telus," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan diketuai oleh secara bersama oleh pengerusi LPK Datuk Lee Hwa Beng dan presiden Institut Pemasaran Berkanun Malaysia Tan Sri Dr James Alfred.

Menurut pengerusi LPK itu anggota pasukan petugas tersebut akan dibayar fi profesional.

Beliau berkata laman web baru, www.pkfznews.com.my, akan diwujudkan untuk menyediakan berita terkini dan berkaitan dengan laporan itu.

Katanya laman web itu akan juga memaparkan jawapan kepada semua soalan. BERNAMA

Artikel Lain