suria

H1N1: Malaysia catat kes ke-11, sedia hadapi pandemik

PETALING JAYA: Malaysia mengesahkan hari ini dua lagi kes baru Influenza A(H1N1) positif, menjadikan kesemuanya 11 kes yang dilaporkan di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan dua kes terbaru itu membabitkan dua wanita warga Malaysia yang masing-masing pulang dari Melbourne serta Manila pada 9 Jun dan 6 Jun.

Kes ke-10, katanya membabitkan pelajar berumur 17 tahun yang melawat keluarganya di Melbourne dari 7 hingga 9 Jun. Dia kembali ke Kuala Lumpur pada 9 Jun menaiki penerbangan MH148 dan duduk di kerusi bernombor 14A.

Pelajar itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas menunjukkan simptom penyakit itu yang disahkan sebagai Influenza A(H1N1) lewat petang semalam.

Pesakit ke-11, seorang wanita berumur 41 tahun yang berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang. Dia berada di Manila untuk mengikuti kursus sejak 31 Mei dan pulang ke Pulau Pinang pada 6 Jun menaiki penerbangan SQ192 Singapore Airlines, yang singgah di Singapura.

Berdasarkan laporan, wanita itu mengadu demam pada 9 Jun dan dimasukkan ke wad Hospital Pulau Pinang semalam. Dia disahkan positif Influenza A(H1N1) pada 9 pagi ini.

Liow berkata kedua-dua pesakit kini menjalani rawatan di kedua-dua hospital itu dan keadaan mereka stabil.

Meskipun tiada kematian dilaporkan, kes terbaru itu menimbulkan kebimbangan kepada Kementerian Kesihatan, yang khuatir bahawa peningkatan jumlah kes import yang konsisten akan membawa kepada jangkitan tempatan.

"Kementerian Kesihatan kini dalam tekanan besar untuk pastikan tiada jangkitan tempatan, kerana kalau menular, ia akan mengakibatkan wabak yang sukar dikawal," katanya.

Liow memberitahu demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Guardian dan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk program penempatan sementara Undergraduate Community Pharmacy, dekat sini.

Beliau berkata kementerian turut mengambil langkah tegas di pelbagai pintu masuk negara, termasuk mengenakan kuarantin serta-merta di hospital kepada mereka yang menunjukkan simptom influenza.

Selain melakukan saringan terhadap penumpang yang tiba menerusi penerbangan dari negara yang terjejas akibat jangkitan tempatan, para pegawai kesihatan turut mengambil calitan kerongkong penumpang yang tiba dari negara lain.

Beliau berkata penerbangan yang tiba dari negara yang terjejas terutamanya Amerika Syarikat dan Australia akan diberikan perhatian khas.

Sehingga kini, terdapat 27,824 kes yang disahkan Influenza A(H1N1) yang mencatatkan 141 kematian di 74 negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengadakan mesyuarat tergempar hari ini, hampir mengisytiharkan pandemik, yang pertama dalam tempoh lebih 40 tahun.

Liow berkata Malaysia juga bersedia untuk berdepan dengan pandemik itu dan melancarkan langkah yang lebih drastik, termasuk mengadakan pemeriksaan menyeluruh terutamanya di institusi seperti sekolah dan tadika jika WHO menaikkan tahap ke peringkat maksimum iaitu 6.

"Tidak perlu untuk menutup sekolah. Bagaimanapun kami akan melakukan saringan yang sewajarnya di sekolah dan mengambil langkah yang lebih drastik untuk melindungi penduduk di negara ini," katanya.

Beliau berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican turut diarah mengemukakan perancangan yang lebih menyeluruh bagi mendepani pandemik itu, misalnya kesiapsiagaan petugas kesihatan di barisan hadapan dan bilik operasi serta langkah bagi mengekang jangkitan tempatan.

Sementara itu, Dr Ismail berkata Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengesan penumpang dan anak kapal penerbangan MH148 dari Melbourne yang mendarat di KLIA pada 7.30 malam, 9 Jun.

"Kontak bagi kes ke-11 juga sedang dikesan, termasuk menghubungi pihak Singapore Airlines bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang penerbangan yang dinaiki penumpang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Keseluruhannya, katanya 178 orang diletakkan di bawah kuarantin di rumah hari ini dan kesemua mereka tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan Influenza A(H1N1). BERNAMA

Artikel Lain