suria

Suami isteri ditahan ketika membungkus dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang suami isteri ketika mereka sedang membungkus heroin dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Utama Off Jalan Sri Gombak di sini, semalam.

Ketika serbuan dibuat pada kira-kira 12.30 tengah malam, polis mendapati pasangan yang berumur 24 dan 27 tahun itu sedang asyik membungkus dadah tersebut di dalam sebuah bilik di rumah itu dan tidak menyedari langsung mereka diintip.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lepas dengan menghantar bekalan dadah yang sudah dipaketkan itu ke satu lokasi di Langkap, Perak.

"Pengedaran ini dibuat sebanyak tiga kali sebulan dan dipercayai setiap kali penghantaran suspek akan menerima RM800 sebagai komisen," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Hasil serbuan itu polis merampas dua bungkus plastik lutsinar berisi 300 paket kecil dadah heroin seberat 226 gram bernilai kirakira RM8,000 di pasaran.

"Kita merampas satu bungkusan lutsinar berisi 200 paket kecil dadah jenis heroin seberat 0.5 gram setiap satu yang sudah direkat manakala 100 paket lagi yang belum direkat dalam satu bungkusan lain," katanya.

Menurut Rosly, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah perekat, satu penimbang dan tujuh telefon bimbit yang digunakan suspek.

Katanya polis masih membuat siasat susulan bagi mengesan pembekal heroin itu kerana difahamkan suspek hanya ditugaskan untuk membungkus dan mengedar dadah berkenaan.

Katanya pasangan itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Rosly berkata tangkapan itu adalah kejayaan ke35 IPD Gombak dalam usaha membanteras jenayah narkotik dengan membabitkan tangkapan seramai 63 orang dari Januari sehingga Jun tahun ini. BERNAMA

Artikel Lain