suria

Shura gesa kerajaan mansuhkan PPSMI

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) menggesa kerajaan memansuhkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia akan menjejaskan kedaulatan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Setiausaha Agung Shura Mohd Azmi Abd Hamid berkata sejak PPSMI dilaksanakan pada tahun 2002, ia telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

"Shura berpendapat PPSMI telah dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang terperinci dan tanpa mengambil pendapat daripada pakar bahasa tempatan," katanya.

Mohd Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar Memorandum Bantahan terhadap PPSMI kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah di sini hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh Engku Ibrahim kira-kira 11 pagi.

Mohd Azmi berkata kerajaan dan Kementerian Pelajaran tidak boleh memberi alasan untuk meneruskan PPSMI berdasarkan kepada kemerosotan pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Cadangan agar seseorang calon perlu lulus mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga akan menyekat peluang pelajar di bandar dan luar bandar untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti, katanya.

"Pada pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik, ia tidak menjadi masalah, tetapi apa akan berlaku kepada pelajar yang tidak menguasai bahasa Inggeris?," tanya Mohd Azmi.

Beliau berharap dengan penyerahan memorandum itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu itu akan mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja di seluruh negara. BERNAMA

Artikel Lain