suria

Rundingan Umno-PAS genting demi ekonomi negara

PELABUHAN KLANG: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata rundingan antara Umno dan PAS dapat menenangkan senario politik negara dan memulihkan kestabilan, poin tarikan utama buat Malaysia menarik pelaburan langsung asing (FDI).

"Ramai pelabur tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara stabil yang dapat menjamin pulangan dalam jangka panjang," katanya ketika diminta mengulas kesediaan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbincang dengan Umno mengenai isu-isu penting negara.

"Ketika ini, beberapa pelabur berpotensi mungkin mempunyai persepsi bahawa situasi politik di Malaysia adalah seperti negara-negara lain yang mengalami ketidakstabilan. Ini timbul daripada melihat laporan berita mengenai negara ini," kata beliau selepas majlis pecah tanah kilang SIMS Copper Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan SIMS di Zon Bebas Pelabuhan Klang di sini semalam. Mukhriz berkata ketenangan politik yang pernah dinikmati oleh negara dapat dipulihkan semula dengan adanya rundingan UmnoPAS, rakyat akan mendapat manfaat dari segi ekonomi.

Ditanya sama ada terdapat pelabur berpotensi yang menukar fikiran untuk melabur di Malaysia, beliau berkata: "Kita tidak dapat katakan dengan pasti tetapi kita ada mendengar hal ini dulunya. Demonstrasi jalanan yang dilihat di TV adalah penyebab utama pelabur berpotensi hilang minat".

Beliau berkata Malaysia tidak pernah termasuk dalam senarai negara-negara yang tidak mempunyai kestabilan politik tetapi sekarang nampaknya ini lebih kerap berlaku dan ini menjejas imej negara dan memberi gambaran ia tidak lagi stabil dari segi politik.

"Kestabilan politik adalah salah satu kriteria utama bagi pelabur ketika membuat keputusan oleh kerana mereka ingin pastikan bahawa pelaburan berjuta-juta ringgit mereka adalah selamat dan tidak tergugat".

Mukhriz berkata walaupun tinjauan oleh pihak tertentu menunjukkan sesetengah belia bersikap tidak hiraukan politik sama ada politik Barisan Nasional atau Pembangkang, mereka tidak lagi meminati keduadua pihak. "Adalah penting kita kurangkan politiking di kalangan parti dan tumpukan kepada urusan mentadbir kerajaan dan negara sebaik yang dapat dalam suasana ekonomi sekarang," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain