suria

Polis cari pemandu teksi bantu siasatan kes dera

KUALA LUMPUR: Polis sedang berusaha mengesan seorang pemandu teksi yang dipercayai dapat membantu siasatan kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri dari rumah majikannya di Lanai Kiara Kondominium, Mount Kiara, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata polis memerlukan keterangan dari pemandu teksi itu yang dipercayai menghantar pembantu rumah itu ke kedutaan Indonesia di sini.

"Pembantu rumah itu yang masih trauma tidak dapat mengecam rupa pemandu teksi dan juga teksi yang dinaiki... Oleh itu kita memerlukan kenyataan pemandu teksi itu bagi membantu siasatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah merakam tiga percakapan iaitu dari mangsa, majikan dan juga wakil kedutaan.

Semalam, mangsa yang dikenali sebagai Siti Hajar, 33, yang berasal dari Jawa Barat, melarikan diri dari rumah majikannya kira-kira tengah malam tadi dan kemudian bertindak mendapatkan perlindungan dari Kedutaan Indonesia di sini. Siti Hajar keluar dari rumah tanpa disedari majikannya dan kemudiannya datang ke kedutaan dengan pertolongan seorang pemandu teksi bagi mendapatkan perlindungan.

Wan Abdul Bari berkata polis akan turut mencari bukti di beberapa tempat di dalam rumah majikan mangsa yang mendakwa dirinya didera bagi mengukuhkan siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, Kaunselor (Maklumat dan Perhubungan Awam) Kedutaan Indonesia di Malaysia, Widyarka Ryananta berkata pihak kedutaan akan menyediakan khidmat peguam untuk membantu Siti Hajar dalam proses di mahkamah.

"Setelah sembuh, Siti Hajar akan ditempatkan di bawah perlindungan kedutaan sambil menunggu hukuman dijatuhkan terhadap majikan yang menderanya jika disabitkan kesalahan," katanya.

Katanya, Siti Hajar masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan pihak kedutaan belum lagi menerima laporan perubatannya.

Menurutnya, pihak kedutaan memberi jaminan sepenuhnya untuk membantu Siti Hajar mendapatkan pembelaan berhubung kes berkenaan.

Tinjauan Bernama di Wad 6U, Surgikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira 12.10 tengah hari hari ini mendapati keadaan Siti Hajar masih lemah dan tidak berselera untuk makan hidangan tengah hari dan enggan diajak berbual kerana mahu berehat. BERNAMA

Artikel Lain