suria

Pindaan saja tidak cukup, adakan pemilihan baru sebelum PRU-13 - Ezam

PETALING JAYA: Umno yang akan meminda perlembagaannya Oktober ini perlu mengadakan pemilihan baru sebelum pilihan raya umum ke-13 bagi meyakinkan orang ramai bahawa ia benar-benar serius dalam usaha menangani amalan politik wang.

Umno sudah mula mengambil langkah drastik ke arah itu, tetapi "tidak cukup setakat meminda perlembagaan" bagi memperkemaskan parti bagi mencapai matlamat menghapuskan gejala politik wang, kata Mohamad Ezam Mohd. Nor.

Ezam yang ditemu bual mStar Online sempena setahun selepas menyertai kembali Umno mengakui, Perhimpunan Agung Tahunan Khas akhir tahun ini "satu perkara drastik, yang signifikan diambil untuk melawan politik wang dalam parti."

"Ini mesti diperlihatkan (dalam bentuk pelaksanaan)," kata bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan itu.

"Kita mesti beri keyakinan, Umno mesti membuktikan bahawa sudah cukup masa untuk bercakap, sudah cukup masa untuk keluar dengan macam-macam slogan, macam-macam komitmen dan mungkin selepas ini pindaan (perlembagaan) akan dibuat.

"Itu bagi saya masih belum cukup dan ini waktu rakyat mahu melihat Umno benar-benar berubah dengan tindakan.

"Ia mesti dilakukan dengan perhimpunan yang bersih, dengan sistem yang baru (ditunjukkan) kepada rakyat," katanya lagi.

Ezam menambah, Umno sudah memperlihatkan kepada umum bahawa ia kini serius untuk menangani masalah politik wang khususnya ketika pemilihan parti di semua peringkat.

"... sebab yang diubah itu bukan struktur, sekarang yang nak diubah itu bukan struktur, yang nak diubah ialah proses pemilihan itu sendiri, yang struktur... selama ini, yang diubah sebelum ini (antaranya) ialah Jawatankuasa Disiplin.

"Itu yang saya nampak perubahannya, tiada perubahan lebih besar... tapi kali ini ada, perubahan yang lebih besar, daripada 2,000 pengundi (perwakilan) kepada 60,000 pengundi (perwakilan).

"Ia (satu jumlah) besar itu. Bagi saya, ini satu anjakan signifikan untuk melawan politik wang," kata Ezam, Ketua Angkatan Muda Keadilan dari 1999 hingga 2005.

Beliau keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga tahun lalu dan menyertai Umno Mei 2008.

SERIUS

Bagaimanapun kata Ezam, Umno perlu mempamerkan kepada rakyat bahawa ia sebagai parti utama Barisan Nasional (BN), benar-benar serius dalam usaha "menutup segala ruang politik wang ini untuk pemimpin-pemimpin yang kaya membeli undi."

"Dan, selepas itu, bukan setakat tunjuk saja dalam perhimpunan khas ini, dia mesti diterjemahkan sebelum pilihan raya Umno dengan pemilihan (baru) Umno," katanya.

"Mesti ada pemilihan Umno, mesti ada pemilihan Umno (terlebih) dulu," kata Ezam sambil menambah, ia macam proses mendobi "di mana perlu melalui dua, tiga kali pusingan cucian."

"Macam baju kotor, kalau satu kali masih tak cukup," jelas beliau yang masih yakin Umno boleh mengadakan pemilihan baru sebelum akhir 2011.

"Ya, saya rasa sempat. Pemilihan tahun ini sebenarnya adalah pemilihan tahun lepas. Jadi tiga tahun depan, penggal ini akan berakhir 2011. Jadi, dia (Umno) boleh buat (pemilihan) pada 2011, awal 2011," katanya.

Umno telah mengadakan pemilihan tiga tahun sekali, yang sepatutnya diadakan Disember 2008, akhir Mac lalu.

Justeru, mandat semasa akan berakhir 2011 manakala mandat lima tahun kerajaan akan berakhir 2013 bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun pembangkang meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan akhir tahun depan ataupun awal 2011.

Ezam menyerahkan borang untuk kembali ke Umno pada 28 Mei 2008.

Selepas kembali ke Umno tahun lalu, Ezam menganggotai kembali Bahagian Petaling Jaya Selatan dan cawangan yang disertai akan mengadakan mesyuarat agung tahunan 27 Jun ini.

Bekas Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) menyertai Umno selepas yakin dengan pembaharuan dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menangani masalah rasuah.

Berdasarkan apa yang disebutkan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ketika ucapan penerimaan jawatan Presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno 2008 Mac lalu, Ezam menyifatkan Umno telah memulakan langkah "berani" ke arah mengatasi gejala politik wang.

"Dia (Umno) dah sebut dah, dan ia harus diperlihatkan dengan pindaan dengan mengadakan perhimpunan agung khas dan dengan indaan perlembagaan dan pindaan perlembagaan harus diterjemahkan apa yang dikatakan semasa pengguluungan dan saya ingat lagi, ia mesti dilebarkan jaringan perwakilan... maknanya bukan oleh 2,000 orang sahaja pilih, tapi 50,000; 60,000 ahli... kalau 50,000; 60,000 tiada ruang untuk politik wang, tiada G-7," katanya.

Artikel Lain