suria

Peniaga rugi RM13,000 tiga motosikalnya dicuri

KUANTAN: Seorang peniaga kerugian RM13,000 selepas tiga buah motosikalnya hilang dipercayai dicuri di halaman rumahnya di Lorong Seri Jaya, Taman Mas dekat Maran, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang ACP T. Narenasagaran berkata mangsa yang berusia 38 tahun mengunci kesemua motosikalnya kira-kira 12 tengah malam sebelum tidur.

"Mangsa hanya menyedari kehilangan motosikal itu selepas bangun pada 6 pagi untuk keluar bekerja lalu melaporkan perkara tersebut kepada polis," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pada hari sama, Narenasagaran berkata lapan buah motosikal turut dilaporkan hilang dalam tempoh 24 jam di daerah Kuantan.

Dalam kes berasingan, dua wanita berusia 19 dan 24 tahun yang sedang asyik berjudi ditahan di sebuah pusat internet di Jalan Seri Teruntum 1 di sini pada 6 petang semalam.

Narenasagaran berkata polis juga menahan seorang penjaga lelaki premis terbabit yang berusia 36 tahun mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 selain merampas dua set komputer. BERNAMA

Artikel Lain