suria

Pembantu rumah yang didera boleh mengadu ke Hotline JTK

PUTRAJAYA: Pembantu rumah yang didera boleh menghubungi hotline Jabatan Tenaga Kerja (JTK) 03-8888 9111 bagi mendapatkan bantuan jika berlaku kecemasan, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Ismail Abdul Rahim hari ini.

Pembantu rumah terbabit juga boleh mendapatkan bantuan segera daripada pejabat JTK yang berhampiran, katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas laporan mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hajar, yang didera oleh majikannya dan melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan di Kedutaan Indonesia.

Ismail berkata para pegawainya telah menemubual Siti Hajar dan akan membantunya mendapat tunggakan gaji daripada majikannya. Majikan wanita itu kini berada dalam tahanan polis.

Katanya bertentangan dengan apa yang ditegaskan oleh kesatuan sekerja, pembantu rumah di negara ini dilindungi di bawah undang-undang.

Beliau berkata kontrak yang mengikat pembantu rumah dengan majikan mereka boleh dikuatkuasakan dan dapat digunakan bagi memperoleh gaji yang tidak dibayar, cuti atau faedah lain yang mereka layak berdasarkan kontrak itu.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya menyenarai hitam majikan dan anggota keluarga mereka yang mendera atau menganiayai pembantu rumah.

Naib presidennya A. Balasubramaniam berkata penderaan terhadap pembantu rumah menimbulkan kebimbangan memandangkan tindakan itu bukan sahaja bermakna menafikan hak asasi manusia tetapi turut memberikan imej negatif negara kepada dunia luar, lebih-lebih lagi negara sumber.

Balasubramaniam berkata sebaik sahaja sesebuah keluarga didapati bersalah kerana mendera pembantu rumah, kesemua anggota keluarganya perlu dilarang daripada menggaji pembantu rumah.

Katanya talian hotline JTK itu harus diberikan publisiti meluas dan dibekalkan kepada pembantu rumah oleh ejen mereka apabila mereka tiba di negara ini.

Beliau mengulangi pendirian MTUC bahawa pembantu rumah perlu diberikan sekurang-kurangnya satu hari cuti rehat dalam seminggu yang mereka boleh gunakan untuk membuat laporan kepada JTK sekiranya mereka didera.

Artikel Lain