suria

Mukhriz: Selesaikan isu PPSMI sebelum putus syarat wajibkan BI

PETALING JAYA: Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum mencapai keputusan mengenai cadangan menjadikan Bahasa Inggeris syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, soal PPSMI perlu menjadi keutamaan memandangkan ia menjadi isu sensitif yang mesti diberi perhatian.

"Saya kira penting juga untuk kita cuba selesaikan isu PPSMI dahulu kerana ia agak sensitif.

"Kita juga perlu capai satu ketentuan dalam soal ini sebelum kita memikirkan mengenai adakah wajar untuk jadikan Bahasa Inggeris matapelajaran wajib lulus dalam SPM," katanya pada sidang media selepas mengunjungi Pusat Produktiviti Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pandangan daripada semua pihak perlu diberi perhatian sewajarnya sebelum mencapai apa-apa keputusan mengenainya.

"Saya kira elok juga dapatkan pandangan semua pihak kerana ada yang setuju dan ada yang tak setuju," katanya.

Tambah Mukhriz, beliau melihat cadangan untuk mewajibkan subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus SPM sebagai perkembangan positif mengenai kesedaran terhadap penguasaan bahasa tersebut.

"Apapun ini menunjukkan bahawa ada kesedaran bahawa penguasaan Bahasa Inggeris itu penting sekiranya negara kita ini mahu maju dan bertanding dengan semua negara di dunia... supaya negara kita diri dan duduk sama tinggi dengan negara lain.

"Yang penting kalau kita mempunyai kesedaran bahawa kita mahu mengangkat martabat bangsa dan tahu apakah peranan bahasa, saya ingat kita akan mencapai keputusan yang benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak," katanya.

Selain itu Mukhriz berkata, matlamat untuk memperkasakan Bahasa Inggeris bukan bermakna kerajaan mengenepikan kepentingan bahasa Malaysia.

"Menguasai Bahasa Inggeris adalah satu perkembangan yang positif dan saya harap ia akan dapat ditingkatkan lagi... ia tidak langsung bermaksud kita ketepikan bahasa Melayu kita sendiri.

"Ini soal keupayaan untuk kuasai sebanyak mungkin bahasa-bahasa yang diajar," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Jerlun itu lagi, usaha bagi memastikan kaedah pengajaran subjek Bahasa Inggeris perlu dimantapkan agar ianya lebih berkesan terutamanya bagi pelajar di kawasan luar bandar.

"Kita perlu tingkatkan lagi supaya lebih berkesan khususnya kawasan luar bandar... peningkatan mutu pengajaran Bahasa Inggeris perlu dimantapkan.

"Kita tak mahu ada jurang antara bandar dan luar bandar dari segi penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak muda kita," katanya.

Artikel Lain