suria

Dua lagi kes terbaru H1N1

PUTRAJAYA: Dua kes baru Influenza A (H1N1) dikesan di negara ini dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan meningkat kepada sembilan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kes kelapan melibatkan seorang pelajar perempuan warga Amerika Syarikat berumur 17 tahun yang tiba di negara ini bersama ibu bapanya untuk bercuti melalui penerbangan Malaysia MH091 (tempat duduk 18G) dari Newark melalui Stockholm pada 8 Jun pukul 6.30 pagi.

Beliau didapati demam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan pukul 10.51 pagi untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kejadian Influenza A (H1N1), di sini Rabu.

Dr Mohd Ismail berkata kes kesembilan pula melibatkan seorang wanita warganegara New Zealand yang tiba di negara ini pada 5 Jun pukul 7.30 pagi melalui pesawat AirAsia DX7 2723 (tempat duduk 29D) dari Melbourne, Australia, iaitu pesawat sama yang dinaiki pelajar Australia yang disahkan sebagai kes ketujuh Sabtu lalu.

Beliau berkata wanita berusia 25 tahun itu bagaimanapun meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang menaiki penerbangan Malaysia MH1138 pukul 9.15 pagi dan tiba di Pulau Pinang pukul 10.15 pagi dan seterusnya menaiki teksi dan mendaftar masuk di sebuah hotel pukul 1 tengah hari.

"Selepas tiba beliau telah berjumpa dengan kawan dan melancong sekitar Pulau Pinang dengan bas persiaran sebelum dikesan sebagai kontak kepada kes ketujuh dan dikuarantin di hotel itu pada Ahad lalu pukul 4.15 petang.

"Beliau mula mendapat demam, batuk dan sakit otot mulai pukul 11 malam dan telah menelefon pejabat kesihatan berhampiran pukul 9 pagi keesokan harinya dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang dengan menggunakan ambulan khas untuk rawatan lanjut," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata kedua-dua kes itu kini berada dalam keadaan stabil dan telahpun diberi rawatan antiviral, malah ibu bapa bagi kes kelapan juga telahpun dikuarantin rumah dan berada dalam keadaan sihat.

Beliau berkata kementerian juga sedang mengesan kesemua kontak kedua-dua kes itu termasuk krew penerbangan dan penumpang MH091 yang dinaiki kes kelapan, terutama penumpang yang duduk di baris 15 hingga 21, juga 20 penumpang bas persiaran dan kakitangan Hotel Holiday Inn untuk kes kesembilan.

Dr Mohd Ismail berkata selain daripada dua kes tersebut, sejumlah 36 notifikasi kes yang mempunyai gejala-gejala jangkitan wabak itu diterima di seluruh negara, dan daripada jumlah itu 31 adalah negatif manakala lima masih menunggu keputusan.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam, 14 kontak telah tamat kuarantin dan 40 kontak baru dikesan manakala seorang yang sedang dikuarantin dimasukkan ke wad menjadikan jumlah yang diletakkan di bawah kuarantin rumah hari ini adalah 204 orang.

Kesemua mereka berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang gejala jangkitan Influenza A (H1N1), katanya.

Dr Mohd Ismail berkata mulai Khamis tidak semua mereka yang didapati demam di pintu-pintu masuk negara akan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan virus Influenza A (H1N1).

Beliau berkata hanya individu tertentu, iaitu mereka yang datang dari negara yang mempunyai penularan tempatan wabak itu, atau negara yang merekodkan kes baru wabak secara aktif, atau mereka yang mempunyai tanda-tanda pneumonia akan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan, sekiranya mereka didapati demam di pintu masuk tersebut.

" Selain daripada itu, kami akan akan buat "throat swab" di pintu masuk dan kemudian kami akan nasihatkan mereka untuk menjaga diri mereka, kami beri mereka penutup muka berkualiti tinggi dan kemudian mereka boleh pulang tetapi mesti mengkuarantinkan diri mereka, sehingga kami beri keputusan dalam tempoh 24 jam, sama ada mereka dijangkiti atau tidak.

" Kami tidak mahu menyebabkan keadaan yang tidak selesa kepada rakyat, tetapi kami berharap dan percaya dengan mereka bagi memastikan mereka tidak melakukan perkara yang tidak sepatut dilakukan, dan kita menaruh kepercayaan supaya mereka mematuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

Ditanya mengenai kes warga Kanada yang lari daripada kuarantin rumah, beliau berkata tiada tindakan akan diambil memandangkan kes tersebut telah disahkan negatif, tetapi jika terdapat lagi kes seumpama itu berlaku, individu tersebut akan dihadapkan ke mahkamah kerana engkar dengan arahan kuarantin rumah.

Dr Mohd Ismail berkata aktiviti kawalan seperti saringan di pintu masuk juga akan dipertingkatkan berdasarkan jangkaan ramai pelajar dari Amerika Syarikat dan Eropah datang bercuti ke negara ini memandangkan cuti musim panas di sana.

Beliau turut menegaskan bahawa pelajar Malaysia yang ingin pulang perlu menangguhkan perjalanan sekiranya mempunyai jangkitan wabak itu, dan mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum pulang ke negara ini.

Ditanya mengenai aktiviti kawalan di sempadan Johor-Singapura bagi mengelakkan kes-kes di negara jiran itu merebak ke negara ini, Dr Mohd Ismail berkata satu mesyuarat akan diadakan antara pegawai-pegawai tinggi kedua-dua pihak pada 18 Jun ini untuk membincangkan perkara tersebut.

Sehingga 8 pagi ini, Dr Mohd Ismail berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat 25,586 kes Influenza A (H1N1)dengan 139 kematian daripada 73 negara, iaitu pertambahan sebanyak 80 kes dari hari sebelumnya tetapi tiada negara baru atau kematian baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu. BERNAMA

Artikel Lain