suria

Dr Mahathir: Umat Islam kini berada dalam keadaan cemas

Dr. Mahathir bimbang terhadap situasi umat Islam di negara ini yang kini berada dalam keadaan cemas ekoran suasana politik yang tidak menentu - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Dr. Mahathir bimbang terhadap situasi umat Islam di negara ini yang kini berada dalam keadaan cemas ekoran suasana politik yang tidak menentu - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Dr. Mahathir bimbang terhadap situasi umat Islam di negara ini yang kini berada dalam keadaan cemas ekoran suasana politik yang tidak menentu - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa bimbangnya terhadap situasi umat Islam di negara ini yang kini berada dalam keadaan cemas ekoran suasana politik yang tidak menentu.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, sejak negara mengecapi kemerdekaan lebih 50 tahun lalu, umat Islam berasa selamat namun perpecahan yang berlaku akibat perbezaan fahaman politik menyebabkan perasaan selamat itu tidak lagi begitu dirasai.

"Sejak Merdeka lagi, kita rasa terselamat. Kita berada dalam kerajaan campuran, kepimpinan orang Melayu tidak perlu dipertahankan, banyak masjid untuk buat ibadat, semuanya rasa selamat...," katanya ketika ditemui di majlis Pidato Perdana Dr Asri Zainul Abidin yang berlangsung di Masjid Wilayah, lewat malam tadi.

Turut hadir ialah Penasihat Khas Perdana Menteri Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, banyak cabaran sedang dihadapi oleh umat Islam negara ini yang menyumbang kepada perpecahan tersebut.

"Banyak cabaran-cabaran yang tidak disangka-sangka seperti perbincangan berkenaan perpaduan.

"Umat Islam perlu bersatu padu tapi kerana fahaman politik berbeza-beza, kita jadi berpecah kepada beberapa parti. Tidak ada persefahaman walaupun berkenaan masalah orang Islam sendiri," katanya.

Pada Muktamar Tahunan PAS ke-55 Jumaat lalu, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan supaya kerajaan perpaduan diwujudkan antara PAS dan BN bagi menyelesaikan pelbagai isu termasuk masalah politik dalam negara secara menyeluruh.

Bagaimanapun, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bersetuju dengan saranan itu.

Dr Mahathir berkata, beliau menyambut baik cadangan kerajaan perpaduan yang disarankan Abdul Hadi namun ia perlu diteliti kerana melibatkan perpaduan parti politik.

"Kalau dulu perbalahan ini berlaku di dunia-dunia Islam apabila konsep-konsep barat diutarakan dan ini berterusan tapi kini ia berlaku di negara kita sendiri.

"Perpecahan telah berlaku di kalangan umat Islam kerana fahaman politik yang berbeza.

"Umat Islam jadi begitu lemah kerana perpecahan ini. Perkara ini perlu diberi perhatian dan sesuatu harus dilakukan," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, konsep kerajaan perpaduan yang disarankan oleh Abdul Hadi itu sebenarnya masih belum dapat digambarkan secara jelas.

"Apa yang dimaksudkan (Abdul Hadi) tidak jelas, sama ada ia dilakukan di antara PAS dan Umno atau BN (Barisan Nasional) dengan pakatan pembangkang.

"Dulu masa kita tubuhkan BN, kita jemput semua orang (parti-parti yang terlibat) untuk menyertai dan yang tolak hanya DAP.

"PAS pun pernah masuk BN tapi kemudian berpisah sebab PAS guna kuasa dia dalam kerajaan untuk perkukuhkan parti dia," katanya.

Dr Mahathir berkata, usaha untuk mewujudkan kerajaan perpaduan akan mendatangkan kebaikan seandainya semua pihak benar-benar ikhlas untuk cuba melaksanakannya.

"Soal umat Islam berpecah belah perlu diberikan perhatian segera. Itu lebih penting," kata Dr Mahathir.

Artikel Lain