suria

Polis tumpas sindiket pengedaran heroin gred tinggi

SHAH ALAM: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya enam suspek asing termasuk seorang wanita serta merampas 16.5 kilogram heroin gred tinggi bernilai RM1.3 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang semalam.

Polis percaya sindiket yang didalangi oleh warga Afrika itu memulakan kegiatan mereka sejak awal tahun ini dan dadah terbabit dibawa masuk dari Pakistan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata kegiatan sindiket itu terbongkar apabila polis menangkap seorang pelajar lelaki warga Nigeria berusia 21 tahun di Bangunan Avenue K, Kuala Lumpur.

Pemeriksaan ke atas beg yang dibawa oleh pelajar itu menemui dua bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin nombor 4 seberat dua kilogram, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya hasil siasatan susulan, polis menahan dua lagi lelaki dan seorang wanita warga Afrika berusia dalam lingkungan 20 hingga 40an di kawasan berhampiran tidak lama selepas tangkapan pertama tu.

Ekoran tangkapan warga Afrika itu, polis berjaya mengangkap dua lelaki warga Pakistan, kedua-duanya berumur 37 tahun, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada hari yang sama, kata Nordin.

Katanya hasil soal siasat ke atas lelaki Pakistan tersebut yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan peniaga karpet itu membawa polis ke rumah sewa mereka di Taman Industri lembah Jaya, Ampang.

Nordin berkata di rumah sewa berkenaan, polis menemui sejumah 14.5 kilogram dadah jenis heroin nombor 4, beberapa telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

"Heroin nombor 4 merupakan dadah gred tinggi yang tidak terdapat di Malaysia dan mengandungi 70 ke 80 peratus ketulenannya. Mengikut harga pasaran satu kilogram dadah itu bernilai RM80,000.

"Kami percaya heroin ini dibawa masuk ke Malaysia untuk dibungkus semula sebelum diedar ke pasaran antarabangsa memandangkan gred dan harganya yang tinggi," katanya.

Nordin berkata kesemua suspek itu direman sehingga 15 dan 16 Jun ini bagi membantu siasatan dan jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya polis masih menyiasat sekiranya terdapat saki baki anggota sindiket tersebut dan bagaimana dadah itu berjaya diseludup masuk ke negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain