suria

Bantah pelantikan Imam dan Nazir masjid, Umno hantar memorandum kepada Sultan Selangor - Noh Omar

TANJONG KARANG: Umno Selangor akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membantah pelantikan imam dan nazir masjid di negeri itu yang dilantik tidak mengikut keputusan majoriti kariah serta anggota jawatankuasa (AJK) masjid.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Noh Omar mendakwa walaupun pengundian dibuat melalui mesyuarat agung tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) didapati membuat pelantikan tanpa merujuk kepada keputusan pengundian itu.

"Mengapa ada pihak lain yang lebih tinggi dari keputusan mesyuarat agung. Lebih baik lantik guna kuasa dan tak perlu mengundi. Tindakan mereka ini buang masa dan mempersenda demokrasi.

"Umno Selangor memandang serius perkara ini dan kita akan mendapatkan maklumat terperinci dalam tempoh sebulan untuk kemukakan memorandum kepada Sultan Selangor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Tani Sepetang Bersama Pesawah anjuran Padi Beras Nasional (Bernas) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa senario itu disahkan berlaku di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya apabila nazir dilantik dari kalangan mereka yang tidak mendapat undian tertinggi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku berdasarkan fahaman politik apabila ramai AJK Masjid yang kebetulan menyokong Umno telah digugurkan.

"Saya mempunyai bukti, contohnya di tempat saya (Tanjong Karang) berlaku apabila mereka yang mendapat undi tertinggi tidak dilantik, malah di Taman Medan, akhbar telah melaporkan mereka yang dilantik adalah penyokong Pas.

"Tindakan ini jelas bertentangan dengan nasihat Sultan Selangor yang menyeru agar institusi masjid tidak dikaitkan dengan hal politik," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain