suria

Penjara empat tahun dan satu sebatan akibat rompak telefon bimbit

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang mengaku mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang pekerja ladang warga Indonesia, hari ini dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu kepada S. Karunakaran Nair, 37 dan Hermawan, 26, seorang warga Indonesia, setelah mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Hentian Puduraya di sini kira-kira dua tahun lalu.

Karunakaran, seorang tukang cat dan Hermawan, seorang pekerja binaan, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak sebuah telefon bimbit milik Akhir Rosidi, 24.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Puduraya, pada pukul 8.30 malam, 30 Nov, 2007.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Zainal Abidin berkata hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap mereka kerana kebelakangan ini banyak berlaku kes rompakan.

"Jika saya beri hukuman ringan, seolah-olah saya merestui jenayah yang kamu berdua lakukan, oleh itu saya akan beri hukuman yang setimpal kepada kamu iaitu 48 bulan dan satu sebatan dari tarikh tangkapan," kata Zainal Abidin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala Karunakaran dan Hermawan diwakili peguambela Tina Ong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain