suria

Pemindahan banduan warga asing dikaji - Hishammuddin

KOTA KINABALU: Akta Penjara 1995 akan dipinda bagi membolehkan banduan warganegara asing di negara ini dipindahkan ke negara asal mereka bagi menghabiskan baki hukuman, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kementeriannya sedang menyediakan draf pindaan akta itu yang berkisar kepada kuasa Menteri untuk melaksanakan pemindahan banduan warganegara asing dan sekali gus menerima banduan warganegara Malaysia yang menjalani hukuman di negara luar.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan langkah untuk melaksanakan pendekatan pemindahan banduan iaitu dengan mengadakan kerjasama dengan negara-negara luar untuk memindahkan banduan warganegara asing ke negara asal mereka.

"Kita harap akta ini akan menjadi kenyataan, sekali gus mengurangkan kesesakan (di penjara)," katanya ketika berucap merasmikan bangunan ibu pejabat Penjara Sabah di Kepayan, dekat sini hari ini.

Hishammuddin berkata, hasil kajian mendapati penjara-penjara di seluruh negara dipenuhi oleh penghuni penjara daripada kalangan warganegara asing.

Sebagai contoh, katanya, statistik pada 15 Mei tahun ini menunjukkan seramai 41 peratus atau 15,279 daripada keseluruhan 37,242 penghuni penjara adalah warganegara asing.

"Perkara ini akan terus merugikan negara sekiranya dibiarkan berterusan kerana akan melibatkan kos pengurusan yang tinggi," katanya.

Hishammuddin berkata, selain itu, KDN telah memulakan sistem parol pada bulan Julai tahun lepas dengan merancang pengenalan kaedah hukuman lain seperti perintah khidmat masyarakat.

Beliau berkata, KDN juga sedang merancang untuk mengemukakan syor dan cadangan untuk membentuk hukuman alternatif tanpa perlu pemenjaraan bagi kesalahan kecil dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Mengenai kesesakan di penjara, Hishammuddin berkata, berdasarkan statistik pada 18 Mei tahun ini, terdapat 36,847 orang penghuni di kesemua 30 penjara di seluruh negara yang sebenarnya hanya boleh menampung kapasiti seramai 32,200 orang.

Berikutan itu, katanya, kerajaan telah meluluskan pembinaan sebanyak 16 penjara baru untuk menampung kapasiti tambahan sebanyak 18,000 orang.

Hishammuddin berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada empat perkara iaitu kesesakan, pemulihan dan menanda aras dan Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan penjara di negara ini.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudian, beliau merayu kepada majikan di Sabah supaya mendaftarkan secara sah pekerja asing tanpa izin (PATI) mereka.

"Selepas tempoh yang ditetapkan, kita mungkin akan mendedahkan nama syarikat atau majikan yang engkar kepada umum kerana kita serius dalam perkara ini," katanya.

Semalam, Hishammuddin mengumumkan pemberian diskaun 50 peratus kadar levi bagi setiap pekerja asing di Sabah berkuat kuasa dari 1 Julai sehingga 31 Oktober tahun ini dalam usaha menggalakkan para majikan mendaftarkan pekerja asing tanpa izin mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain