suria

Pekerja tapak pembinaan mati dalam pergaduhan

PULAU PINANG: Seorang lelaki warga Indonesia mati setelah dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan pekerja Myanmar di sebuah tapak pembinaan di Jalan Batu Feringghi di sini, hari ini.

Lelaki berusia 42 tahun itu, yang bekerja sebagai buruh binaan di tempat yang sama, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan batang kayu dan besi oleh kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Azam Abdul Hamid berkata, pergaduhan itu dipercayai berlaku awal pagi ini berpunca daripada salah sangka kumpulan berkenaan terhadap mangsa yang dikatakan menyamun rakan mereka.

"Semasa polis tiba di tempat kejadian kirakira pukul 9 pagi ini, lelaki itu masih bernyawa tetapi ketika kami cuba memberikan bantuan, dia meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Sehubungan itu, polis melancarkan gerakan mengesan kumpulan berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Azam berkata, polis telah mengambil keterangan daripada 30 pekerja di tapak itu bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain