suria

Hobi mencuri jerat pelayan dipenjara enam bulan

KUALA LUMPUR: "Saya hanya suka-suka nak mencuri," kata seorang pelayan kedai makan ketika diminta mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman terhadap tuduhan mencuri ke atasnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

"Kamu ada memikirkan tidak kenapa kamu mencuri, mana boleh suka-suka, benda itu penting untuk pengawal menjaga keselamatan kawasan itu," kata Majistret Aina Azahna Arifin.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu 18 April 2009, selepas Lian Kian Hui, 31, mengaku bersalah.

Lian didakwa mencuri dua buah walkie talkie bernilai RM2,000 milik seorang pengawal keselamatan, Faizah Rajab, 44, di bilik kawalan Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Dang Wangi di sini.

Dia yang mempunyai rekod lampau iaitu memiliki dadah pada 2007, didakwa melakukan kesalahan itu pada 7.35 pagi, 18 April lepas.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain