suria

Gara-gara curi Listerine, lelaki dipenjara dua hari

JOHOR BAHARU: Gara-gara mencuri tiga botol cecair kumuran berharga RM60, seorang lelaki berusia 38 tahun didenda RM3,000 dan dijatuhi hukuman penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Cheah Chong Leng didakwa mencuri produk berjenama Listerine itu dari kedai farmasi Guardian di pasaraya Giant Southern City di Taman Suria di sini pada 1 petang Sabtu lalu.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau keduaduanya di hadapan Majistret Mohd Fuad Abd Aziz.

Dalam satu lagi kes di mahkamah yang sama, seorang lelaki berusia 33 tahun didakwa mengedar 106gm heroin di sebuah rumah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada 12.30 tengah hari 1 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Saiful Bahari Ahmad yang didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati.

Mohd Fuad menetapkan 6 Ogos bagi mendengar kes tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain