suria

Umno guna pendekatan halus dekati pengundi Manek Urai - Awang Adek

KOTA BAHARU: Umno Kelantan akan menggunakan kaedah halus dan menghormati masyarakat setempat dalam mendekati serta memahami pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Manek Urai.

Malah, Umno Kelantan kini akan menggunakan kaedah pendekatan dari rumah ke rumah daripada melaksanakan majlis ceramah secara besarbesaran kerana tidak mahu menyusahkan pengundi untuk datang sematamata mendengar ceramah politik.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata pendekatan dari rumah ke rumah dilihat lebih berkesan kerana jentera politik dan pemimpin yang datang kepada rakyat untuk memberikan penjelasan.

"Kita akan adakan juga ceramah, tapi ceramah yang lebih berbentuk melibatkan dua atau tiga rumah sahaja.

"Ceramah besar-besaran akan dibuat juga tetapi tidak banyak berbanding ceramah dari rumah ke rumah. Jadi ini satu perubahan pendekatan yang dilihat berkesan," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Nur Abadi Garments Sdn Bhd di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 6 Julai dan jika ada pertandingan, hari mengundi pada 14 Julai.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata selain itu ceramah besarbesaranan dilihat tidak praktikal kerana keadaan jalan di sekitar Manik Urai itu adalah sempit dan akan menyebabkan kesesakan sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat.

Beliau berkata malahan pemimpinpemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak digalakkan masuk ke kampung menggunakan kenderaan mewah sebaliknya menggunakan kenderaan biasa mahupun bermotosikal.

Justeru, katanya sebuah pusat arahan akan ditubuhkan di Manek Urai Baru dan pusat itu akan berbentuk khemah.

"Di situ kita akan pastikan semua aktiviti dan kegiatan jentera dan pemimpin diselaraskan supaya kempen kita tidak berkecelaruan dan bertembung," katanya.

Awang Adek berkata antara isu yang diberikan perhatian adalah perkara meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan serta pembangunan insan.

"Bagi isu kemudahan dan perkhidmatan, kita akan membantu secepat mungkin untuk meningkatkan kemudahan di kawasan Manik Urai seperti memberi bantuan kepada golongan petani yang memerlukan peralatan pertanian dan membantu membaiki rumah kepada golongan miskin tegar, termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan kurang upaya.

"Bagi isu pembangunan insan kita akan fokuskan kepada golongan muda dengan menyediakan kursus yang mereka minati untuk menambahkan peluang kemahiran mereka dalam mendapatkan pekerjaan. Kita juga akan menawarkan peluang melanjutkan pelajaran kepada golongan muda untuk mereka perbaiki hidup mereka," katanya.

Beliau berkata BN juga akan memberikan tumpuan kepada kaum lain walaupun jumlah mereka sedikit iaitu 80 undi sahaja. BERNAMA

Artikel Lain